
KANGAR, 18 Mei – Lebih 5,000 peserta memeriahkan Karnival D’Bendang Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong yang julung kalinya dianjurkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Abi dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Kelab Aspirasi Seroja.
- Program mencerminkan semangat kekitaan dan kerjasama dalam komuniti serta mengukuhkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum.
- Acara menjadi platform menyampaikan mesej perpaduan kenegaraan dan konsep Malaysia Madani serta menekankan peranan penting Rukun Tetangga dalam komuniti.
- Pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk larian keluarga, permainan tradisional, bengkel anyam, persembahan tarian dan cabutan bertuah dengan hadiah wang dan barang.
Menurut Pengarah Program, Amy Rodzi, aktiviti seumpama itu mencerminkan semangat kekitaan dan kerjasama dalam komuniti serta mengukuhkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum.
”Program ini adalah satu platform untuk menyampaikan mesej perpaduan kenegaraan dan perkhidmatan berteraskan konsep Malaysia Madani kepada komuniti setempat selain menjadi platform penting menekankan kepentingan peranan Rukun Tetangga (RT) dalam komuniti.”
Bersempena dengan karnval itu, lebih 1,500 orang menyertai larian santai bersama keluarga, ‘We Run Bintong’ sekitar Kampung Abi menyelusuri kawasan kampung, sungai dan sawah padi.
Acara menarik lain yang turut disediakan ialah pertandingan tarik tali, mewarna, wau tradisional, seni suara burung, bola sepak bendang, tangkap itik emas dan bengkel anyam sarung cempedak serta persembahan tarian singa.
Amy ditemui pada Karnival D’Bendang Perpaduan DUN Bintong di Kampung Abi yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamidi.
Turut menjadi tumpuan ialah cabutan bertuah yang menawarkan wang tunai RM1000, selain pelbagai barangan elektrik serta dua ekor kambing sebagai hadiah utama.