
BANGI, 17 Mei – Festival Teater (FESTER) 2026 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bukan sekadar medan mencungkil bakat seni, malah menjadi platform penting dalam menghidupkan semula warisan legenda tempatan dalam kalangan generasi muda.
- Pementasan berasaskan legenda tempatan diberi nafas baharu oleh mahasiswa pelbagai fakulti.
- Pendekatan itu dianggap penting untuk memastikan karya warisan tidak dilupakan.
- Festival menyerlahkan bakat pelajar dalam pengarahan, penulisan dan lakonan.
- Festival menyatukan pelajar berbeza latar akademik dan menghubungkan generasi muda dengan khazanah budaya.
Berlangsung dari 13 hingga 20 Mei di Panggung Seni UKM, festival itu menampilkan pementasan berteraskan kisah-kisah legenda yang diberi nafas baharu melalui kreativiti mahasiswa pelbagai fakulti.
Bekas Yang Dipertua Majlis Teater Selangor, Kamaruzaman Ibrahim menyifatkan pendekatan tersebut sebagai usaha signifikan dalam memastikan karya warisan tidak terus dilupakan.
Menurutnya, FESTER membuka ruang kepada mahasiswa untuk menterjemah semula cerita-cerita klasik dalam bentuk lebih segar, sekali gus memperkukuh apresiasi terhadap seni budaya tempatan.
“Festival ini bukan sahaja mengetengahkan kisah legenda, malah menyerlahkan bakat pelajar dalam pengarahan, penulisan dan lakonan yang semakin berkembang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah FESTER, Nurariana Natasha Mohd Azhari berkata festival berkenaan turut menjadi medan penyatuan minat dalam kalangan mahasiswa yang berkongsi kecenderungan terhadap seni teater.
“Penyertaan pelajar daripada pelbagai latar belakang akademik membuktikan bahawa mahasiswa mampu seimbang dalam bidang akademik dan kesenian.
“Walaupun berlainan kursus, kami berkongsi minat yang sama. Inilah ruang untuk mereka menonjolkan bakat dan membuktikan kemampuan dalam seni teater,” ujarnya.
FESTER 2026 dilihat bukan sahaja memperkasa bakat baharu, tetapi turut berperanan sebagai jambatan menghubungkan generasi muda dengan khazanah budaya yang semakin terpinggir.