
KUALA LUMPUR, 17 Mei 2026 – Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia memandang serius dakwaan penyaluran dana berjumlah lebih RM1.5 juta daripada yayasan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, The Tides Foundation, kepada sebuah syarikat tempatan yang didakwa digunakan bagi membiayai gerakan politik tertentu.
- Maklumat mendakwa dana daripada The Tides Foundation disalurkan ke MANDIRI melalui tiga transaksi besar antara Nov 2024 hingga Jun 2025.
- Tujuh transaksi berjumlah RM686,729 dilaporkan dibuat kepada Amir Hariri dan individu lain yang dikaitkan dengan MANDIRI.
- AMK mendakwa dana mungkin digunakan untuk operasi media sosial dan mobilisasi protes jalanan bagi membentuk naratif kebencian terhadap kerajaan.
- AMK menggesa PDRM, SPRM, Bank Negara dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh serta tindakan di bawah Kanun Keseksaan, AMLA dan Akta Pertubuhan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim memaklumkan perincian maklumat yang diterima mendakwa dana daripada yayasan berkenaan disalurkan kepada MANDIRI Development Centre Sdn. Bhd. menerusi tiga transaksi utama antara November 2024 hingga Jun 2025.
Jelasnya, transaksi tersebut dilaporkan berlaku pada 27 November 2024 sebanyak RM233,322.20, 12 Mac 2025 sebanyak RM658,555.00, dan 6 Jun 2025 sebanyak RM628,270.00.
“Maklumat tersebut juga mendakwa bahawa sepanjang tahun 2024 hingga 2025, sebanyak tujuh (7) transaksi berjumlah RM 686,729.00 telah dibuat terhadap Amir Hariri Abd Hadi dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan MANDIRI,”menurut kenyataan.
AMK mendakwa dana berkenaan berkemungkinan digunakan untuk aktiviti berkaitan gerakan politik tertentu termasuk operasi media sosial serta mobilisasi protes jalanan, yang didakwa bertujuan membentuk persepsi serta naratif kebencian terhadap kerajaan dan menjejaskan kestabilan politik negara.
Sehubungan itu, AMK menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia serta agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan bebas terhadap semua pihak yang terlibat tanpa mengira latar belakang politik.
“Sebarang pelanggaran undang-undang perlu diambil tindakan tegas di bawah peruntukan sedia ada termasuk Kanun Keseksaan, AMLA dan Akta Pertubuhan 1966 sekiranya terdapat unsur
ancaman terhadap keselamatan negara, pengubahan wang haram atau penyalahgunaan dana asing untuk tujuan politik yang menyalahi undang-undang,”menurut kenyataan sama.