
PADANG TERAP, 17 Mei – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menggesa semua pihak agar menggunakan sumber bekalan air secara berhemah susulan langkah agensi itu mengekalkan pelepasan 600 cusec air dari Empangan Pedu dan Empangan Ahning bagi memastikan jaminan bekalan air domestik berterusan.
- MADA menghargai komitmen NADMA, Jabatan Perdana Menteri, MetMalaysia dan agensi berkaitan dalam pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan.
- Siri kelima OPA dilaksanakan 12 Mei bagi menangani penyusutan paras air di empangan kritikal Kedah dan Perlis.
- Pesawat C-130 menyembur empat tangki larutan garam ke awan pada ketinggian antara 5,000 hingga 9,000 kaki; hujan dicatat 10 hingga 70 mm.
Bahagian Pengurusan Empangan dan Sumber Air MADA dalam satu kenyataan menegaskan bahawa penggunaan secara berhemah adalah penting bagi memastikan kelangsungan dan jaminan masa depan bekalan air di kawasan terlibat.
Dalam pada itu, MADA turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta agensi-agensi yang terlibat atas komitmen padu menjalankan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan empangan MADA sehingga kini.
Operasi Pembenihan Awan siri kelima telah dilaksanakan pada 12 Mei lalu bagi menangani isu penyusutan paras air di empangan-empangan kritikal akibat fenomena cuaca kering yang melanda Kedah dan Perlis.
Lokasi sasaran bagi operasi tersebut melibatkan Empangan Pedu, Muda, Ahning, dan Beris di Kedah, serta Empangan Timah Tasoh di Perlis.
Melalui operasi yang menggunakan pesawat pengangkut C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu, sebanyak empat tangki bancuhan air garam telah disembur ke dalam formasi awan kumulus pada ketinggian antara 5,000 hingga 9,000 kaki.
Susulan pelaksanaan intervensi berkenaan, aktiviti hujan mula dikesan seawal pukul 3.00 petang di kawasan tadahan utama Kedah dengan merekodkan kadar taburan hujan antara 10 milimeter (mm) hingga 70 mm.