
IPOH,16 Mei – Kerajaan meningkatkan peruntukan projek melibatkan kontraktor kecil Bumiputera G1 hingga G4 daripada RM2.4 bilion kepada RM4 bilion bagi memperkasa ekonomi setempat serta memperluas penyertaan syarikat kecil dalam projek kerajaan.
- Kerajaan komited membantu kontraktor kecil Bumiputera berkembang dan lebih berdaya saing dalam projek pembangunan negara.
- Had nilai sebut harga projek bagi kontraktor kecil dinaikkan sehingga RM1 juta untuk membuka peluang projek lebih besar.
- Kontraktor kecil berprestasi baik akan diberi lebih banyak peluang dan kontrak masa hadapan sebagai galakan meningkatkan kualiti.
- Kerajaan mempermudah pembiayaan melalui kerjasama institusi kewangan termasuk MARA, Agrobank dan TEKUN Nasional.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus membantu kontraktor kecil Bumiputera supaya mereka mampu berkembang dan lebih berdaya saing dalam pelaksanaan projek pembangunan negara.
Menurut beliau, kerajaan turut menaikkan had nilai sebut harga projek bagi kontraktor kecil sehingga RM1 juta, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Bumiputera untuk mendapatkan projek berskala lebih besar.
“Kalau tidak ada dasar yang jelas mendorong mereka, memberi bantuan dan mempermudah kerja mereka, mereka tidak akan dapat berkembang,” katanya ketika berucap pada Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak, di sini.
Datuk Seri Anwar turut memberi jaminan bahawa kontraktor kecil yang menunjukkan prestasi baik akan diberi lebih banyak peluang dan kontrak pada masa hadapan sebagai galakan untuk meningkatkan kualiti pelaksanaan projek.
Dalam masa sama, kerajaan akan mempermudah proses pembiayaan melalui kerjasama institusi kewangan termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Agrobank dan TEKUN Nasional bagi membantu kontraktor kecil melaksanakan projek dengan lebih lancar dan sistematik.