Peruntukan naik taraf bilik, kuarters guru suntik semangat warga pendidik

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi menaik taraf kira-kira 7,000 bilik guru dan RM50 juta bagi penyelenggaraan 8,700 unit kuarters guru di seluruh negara membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan warga pendidik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memperuntuk tambahan bagi naik taraf bilik guru dan penyelenggaraan kuarters, menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan warga pendidik.
  • NUTP menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman insentif khas sempena sambutan Hari Guru.
  • Naik taraf dan baik pulih dijangka menyuntik motivasi serta semangat guru, terutamanya guru muda di kawasan pedalaman.
  • Masih wujud guru tinggal di stor dan bangunan usang, NUTP berharap pembinaan lebih banyak kuarters di kawasan pedalaman.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman insentif khas tersebut sempena sambutan Hari Guru 2026.

Jelas beliau, kebanyakan bilik guru berada dalam keadaan kurang memuaskan dan tidak selesa untuk digunakan ketika ini.

“Melalui peruntukan ini, kami berharap guru-guru akan lebih bermotivasi dan bersemangat dalam menjalankan tugas,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri meluluskan tambahan RM100 juta bagi menaik taraf kira-kira 7,000 bilik guru di seluruh negara dan RM50 juta bagi penyelenggaraan 8,700 unit kuarters guru ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 di Ipoh, Perak hari ini.

Aminuddin berkata, inisiatif membaik pulih kuarters guru terutama di kawasan pedalaman turut memberi suntikan semangat kepada guru muda yang bertugas di kawasan berkenaan.

Katanya lagi, masih terdapat guru yang terpaksa menggunakan stor dan bangunan usang sebagai tempat tinggal berikutan kekurangan kemudahan kuarters.

“Keadaan ini adalah tidak wajar dan kami berharap langkah kerajaan tersebut dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi guru,” katanya.

Tambah beliau, NUTP berharap kerajaan dapat membina lebih banyak kuarters guru khususnya di kawasan pedalaman demi keselesaan warga pendidik yang komited menjalankan tanggungjawab mereka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.