
KOTA BHARU, 15 Mei – Pemain tengah Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) Zuasyraf Zulkiefle mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang mudah cabaran Imigresen FC II menjelang aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini Ahad ini.
- Perlu kekal fokus sepanjang 90 minit kerana kedudukan liga bukan jaminan.
- Perlawanan penting untuk kutip mata bagi kukuhkan peluang merebut slot Liga Super.
- Tunjukkan semangat juang tinggi dan perkemas benteng pertahanan untuk pastikan tiga mata di laman sendiri.
- Imigresen FC II menunjukkan peningkatan; perlawanan dijangka sengit kerana semua pasukan memburu mata penting.
Beliau berkata perbezaan kedudukan dalam liga bukan jaminan buat KRW FC, sebaliknya setiap pemain perlu kekal fokus sepanjang 90 minit permainan kerana apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.
“Perlawanan ini amat penting untuk kami mengutip mata bagi mengukuhkan kedudukan dalam usaha merebut slot ke Liga Super musim depan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Ketika ini, KRW FC berada di tangga keempat Liga A1 Semi-Pro dengan 50 mata, manakala Imigresen FC II menghuni kedudukan kesembilan selepas mengumpul 37 mata.
Zuasyraf berkata beliau mahu seluruh pasukan menampilkan semangat juang tinggi selain memperkemas benteng pertahanan bagi memastikan tiga mata penuh di laman sendiri.
“Dalam masa sama, pemain juga perlu beraksi lebih agresif untuk memanfaatkan segala kekuatan yang ada. Kami sedar perlawanan ini bukan mudah dan tidak boleh leka walaupun beraksi di tempat sendiri,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Imigresen FC II sebagai pasukan yang sedang berada pada prestasi terbaik berdasarkan beberapa aksi terdahulu.
“Imigresen FC II menunjukkan peningkatan yang baik kebelakangan ini, jadi kami tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka. Perlawanan ini dijangka sengit kerana setiap pasukan sedang memburu mata penting, termasuk untuk merebut slot ke Liga Super musim depan,” katanya.- BERNAMA