Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu mula tugas

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman (kanan) mula tugas rasmi hari ini.

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman memulakan tugas rasmi hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Seri Abdul Halim Aman menggantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
  • Pelantikan disambut baik, Ketua Setiausaha Negara menzahirkan ucapan tahniah atas kepercayaan dan amanah diberikan.
  • Pengalaman luas dan kredibiliti dalam bidang perundangan diyakini memperkukuh peranan serta fungsi SPRM.
  • Peralihan kepimpinan dilihat kesinambungan penting untuk meneruskan pembaharuan, mempertingkat keberkesanan siasatan dan membanteras rasuah.

Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan perkhidmatan semalam.

Pelantikan Datuk Seri Abdul Halim disambut baik pelbagai pihak termasuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang menzahirkan ucapan tahniah atas kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada beliau untuk menerajui badan penguat kuasa antirasuah utama negara itu.

Menurut Tan Sri Shamsul Azri, pengalaman luas dan kredibiliti dimiliki Datuk Seri Abdul Halim khususnya dalam bidang perundangan diyakini mampu memperkukuh lagi peranan dan fungsi SPRM sebagai institusi penguat kuasa yang disegani.

Beliau berharap kepimpinan baharu itu juga diharap dapat meneruskan agenda memperkasa integriti, tadbir urus dan usaha memerangi rasuah secara lebih berkesan selaras aspirasi kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Azam atas segala jasa dan sumbangan sepanjang menerajui SPRM.

Beliau menyifatkan banyak kejayaan serta pembaharuan berjaya dilaksanakan di bawah kepimpinan Tan Sri Azam termasuk usaha memperkukuh sistem penguatkuasaan, meningkatkan keberkesanan siasatan dan mempertingkat imej SPRM di peringkat nasional serta antarabangsa.

Peralihan kepimpinan itu dilihat sebagai kesinambungan penting dalam memastikan SPRM terus memainkan peranan utama membanteras rasuah dan salah guna kuasa demi kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.