
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB 2030) berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran hasil industri sebanyak RM55 bilion menjelang 2030 meskipun berdepan ketidaktentuan global.
- Kenaikan kos bahan api penerbangan beri kesan lebih besar kepada syarikat penerbangan berbanding sektor MRO.
- Jika konflik geopolitik tidak berlanjutan, impak terhadap sektor aeroangkasa dan MRO dijangka terhad.
- Malaysia kini pemain MRO ketiga terbesar Asia Pasifik, meletakkan negara pada posisi strategik untuk menarik bahagian pasaran.
- Industri aeroangkasa rekod hasil RM32.5 bilion, disokong 34,700 tenaga kerja mahir dan lebih 250 syarikat; MRO cipta 12,000 kerja bernilai tinggi.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, peningkatan kos bahan api penerbangan ketika ini lebih memberi kesan kepada syarikat penerbangan berbanding sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
“Peningkatan kos bahan api penerbangan yang meningkat lebih 100 peratus daripada sekitar AS$2.50 kepada kira-kira AS$4.50 ketika ini sememangnya memberi cabaran kepada syarikat penerbangan.
”Kita melihat sekiranya konflik geopolitik semasa tidak berpanjangan, ia tidak akan memberi impak besar. Pada ketika ini, keadaan masih terkawal dan sektor aeroangkasa, khususnya segmen MRO, tidak banyak terjejas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program MRO Southeast Asia 2026 di sini, hari ini.
Tambah beliau, sasaran RM55 bilion yang ditetapkan di bawah MAIB 2030 itu juga mewakili kira-kira 25 peratus daripada pasaran MRO Asia Pasifik yang diunjurkan melepasi AS$60 bilion menjelang 2030.
Katanya, kedudukan Malaysia sebagai pemain MRO ketiga terbesar di Asia Pasifik meletakkan negara pada posisi strategik untuk meraih bahagian signifikan daripada pasaran tersebut.
Tahun lalu, industri aeroangkasa Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif dengan merekodkan hasil sebanyak RM32.5 bilion, disokong lebih 34,700 tenaga kerja mahir serta lebih 250 syarikat yang beroperasi dalam ekosistem tersebut.
Manakala segmen MRO kekal menjadi pemacu utama industri dengan menyediakan lebih 12,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi, selain terus menarik keyakinan syarikat penerbangan global seperti Airbus, Boeing, Collins Aerospace, Safran dan Turkish Aerospace Industries untuk melabur di negara ini.