
MEXICO CITY, 12 Mei – Kerajaan Mexico City secara rasmi melancarkan semula laluan tren ringan yang telah dinaik taraf sebagai antara projek infrastruktur utama bagi memudahkan pergerakan penyokong menjelang kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 yang dijadual berlangsung pada 11 Jun hingga 19 Julai.
Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada berkata, projek naik taraf itu melibatkan penambahan 17 tren elektrik baharu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 35 buah tren.
- Projek menambah 17 tren elektrik baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 35 tren.
- Kapasiti harian dijangka meningkat dua kali ganda daripada 130,000 kepada 250,000 penumpang.
- Laluan menghubungkan Tasquena hingga Xochimilco dan termasuk stesen di Stadium Azteca.
Penambahan itu dijangka mampu menggandakan kapasiti harian penumpang daripada 130,000 kepada 250,000 orang.
Laluan tren ringan tersebut menghubungkan bahagian selatan bandar itu, bermula dari Tasquena sehingga ke Xochimilco.
Laluan berkenaan turut merangkumi stesen di Stadium Banorte atau lebih dikenali sebagai Stadium Azteca yang bakal menjadi lokasi penganjuran perlawanan kejohanan bola sepak dunia berkenaan.
Dalam pada itu, kerja-kerja pengubahsuaian di Stadium Azteca masih diteruskan sebagai persiapan akhir sebelum kejohanan bermula secara rasmi pada 11 Jun depan. – REUTERS