Pendekatan bersasar lebih berkesan hadapi kejutan bekalan – BNM

 Pendekatan bersasar lebih berkesan hadapi kejutan bekalan – BNM/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Dasar monetari merupakan instrumen yang kurang sesuai dalam menangani kejutan yang didorong oleh penawaran, seperti kenaikan harga bahan api dan komoditi.

RINGKASAN BERITA AI
  • BNM menilai penyelesaian bersasar lebih wajar dan berkesan untuk menghadapi kejutan bekalan.
  • BNM berwaspada; jika tekanan harga meluas dan berlanjutan, dasar monetari mungkin diperlukan.
  • Pelbagai sokongan disediakan: dana modal kerja, bantuan penstrukturan pinjaman dan SME SRF RM5 bilion untuk PMKS.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pada asasnya pendekatan dasar monetari yang bersifat menyeluruh digunakan untuk mengurus permintaan dan mempunyai kesan kepada keseluruhan ekonomi.

Jelas beliau, dalam situasi kejutan bekalan, penyelesaian yang lebih bersasar adalah lebih wajar dan berkesan.

Bagaimanapun, BNM kekal berwaspada sekiranya tekanan harga menjadi lebih meluas dan berpanjangan.

“Jika tekanan harga daripada kejutan penawaran ini menjadi lebih meluas dan berpanjangan, maka mungkin terdapat keperluan untuk menggunakan dasar monetari.

“Setakat ini, mekanisme sokongan telah pun tersedia dan sedang dimaklumkan secara proaktif kepada perniagaan yang terjejas,” katanya.

Antara bantuan yang tersedia ialah dana khas bagi modal kerja kepada perniagaan yang menghadapi gangguan operasi dan cabaran aliran tunai.

Turut ditawarkan, bantuan pembayaran balik pinjaman seperti pilihan penstrukturan semula dan penjadualan semula untuk peminjam yang terjejas.

BNM turut memperkenalkan Kemudahan Bantuan Kestabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME SRF) berjumlah RM5 bilion untuk membantu usahawan termasuk perusahaan mikro yang terjejas oleh krisis bekalan tenaga.

Permohonan untuk SME SRFakan dibuka pada 15 Mei 2026, melalui bank-bank yang mengambil bahagian.

PMKS boleh merujuk laman web BNM untuk senarai institusi kewangan yang mengambil bahagian atau menghubungi bank masing-masing secara terus.