Bila kasih bertukar derita, wujudlah jeritan dalam diam

Gambar hiasan/RTM

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes keganasan rumah tangga meningkat; mangsa termasuk wanita, lelaki, anak-anak dan warga emas.
  • Stigma dan malu membuat mangsa senyap; ramai tidak melapor sesiapa demi sayang atau ketakutan.
  • Penderaan bermula dari tekanan, cemburu dan kawalan emosi; anak yang menyaksikan berisiko mengulangi keganasan.
  • Komuniti dan keluarga mesti bertindak: didik emosi, laporkan penderaan, gunakan talian bantuan, media dan institusi agama perlu mendidik.

Rumah, tempat paling damai untuk kita pulang melepaskan lelah. Bukan menjadi medan ketakutan.

Tempat air mata jatuh tanpa suara. Tempat seorang isteri dipukul, seorang suami dihina, anak-anak didera, malah ibu bapa serta datuk dan nenek diperlakukan tanpa belas kasihan.

Kata peribahasa Melayu, “harapkan pagar, pagar makan padi.” Orang yang sepatutnya melindungi, akhirnya menjadi orang yang paling melukakan.

Isu keganasan rumah tangga di Malaysia kini agak membimbangkan. Statistik dan laporan pelbagai agensi menunjukkan peningkatan kes setiap tahun.

Menurut laporan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), jumlah kes keganasan terhadap wanita meningkat kepada 7 ribu 939 kes pada 2025 daripada 5 ribu 209 kes pada 2024.

Kes terbaharu, nun jauh di utara tanah air. Seorang suami sanggup memukul isterinya yang hamil sehingga keguguran. Lelaki sama yang pernah memukul bekas isterinya hingga koma.

Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mendedahkan sebanyak 3,768 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 .

Apa yang lebih menyedihkan, mangsa bukan sahaja wanita. Hari ini, lelaki tidak terkecuali. 1,183 kes direkodkan PDRM setakat Julai tahun lepas, sebenarnya mungkin lebih tinggi. Namun, stereotaip menghalang mereka daripada meluahkan penderitaan.

Kaunselor berdaftar, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, stigma lelaki ‘tidak boleh kelihatan lemah’ masih tebal dalam masyarakat dan menjadi punca mangsa pilih untuk diam.

Diam kerana malu.
Diam kerana takut.
Diam kerana masih sayang.
Dan diam kerana tidak tahu hendak mengadu kepada siapa.

Sedangkan luka emosi itu kadang-kadang lebih parah daripada luka pada tubuh.

Anak-anak pula membesar dalam ketakutan. Ada ibu bapa dipukul dan diabaikan. Ada juga datuk dan nenek hidup seperti “menumpang kasih” di rumah anak sendiri.

Saudara! Keganasan rumah tangga bukan berlaku secara tiba-tiba. Ia biasanya bermula dengan tekanan hidup, masalah kewangan, ketagihan, sifat panas baran, cemburu melampau dan kegagalan mengawal emosi.

Ia adalah“krisis senyap” dunia moden. Kebanyakan penderitaan berlaku di sebalik pintu rumah yang tertutup.

Ahli psikologi klinikal dan forensik antarabangsa, Dr. Lenore E. Walker, dalam bukunya The Battered Woman mendedahkan keganasan bukanlah kejadian rawak, sebaliknya ia satu kitaran

Anak-anak yang membesar dalam suasana ganas berisiko mengulangi kitaran yang sama apabila dewasa.

Bayangkan seorang anak kecil yang setiap malam mendengar ibunya menangis dipukul ayah sendiri.

Begitu juga warga emas yang dipinggirkan anak-anak setelah berkorban seumur hidup membesarkan keluarga, dan seorang isteri yang terpaksa menyembunyikan lebam di wajah demi menjaga maruah rumah tangga.

Itulah realiti yang sedang berlaku. Bak kata pepatah, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.”

Namun dalam isu ini, bukan sekadar kata-kata. Ada tangan yang naik memukul. Ada jiwa yang hancur sedikit demi sedikit. Malah ada kes yang berakhir dengan kehilangan nyawa.

Sehubungan itu, isu ini tidak boleh lagi dipandang sepi. Kerana setiap kali masyarakat memilih untuk tidak peduli, seorang mangsa terus hidup dalam ketakutan.

Jadi, apakah jalan keluarnya? Ya!, keluarga mesti kembali menjadi tempat paling selamat. Didik anak-anak dengan kasih sayang, bukan kekerasan.

Bagi suami dan isteri, belajarlah mengurus emosi serta berkomunikasi dengan baik.Jangan jadikan kemarahan sebagai bahasa harian dalam rumah tangga.

Waima di media sosial, kerana satu “like” mampu mencetuskan kesan rangkaian.

Masyarakat pula jangan jadi “bisu”. Jika terdengar jeritan, pergaduhan melampau atau penderaan, tampilah membantu. Sekali-sekala kena “jaga tepi kain orang”. Laporkan kepada pihak berkuasa.

Kadangkala satu panggilan telefon mampu menyelamatkan nyawa. Talian Kasih 15999 beroperasi 24 jam, 7 hari seminggu.

Pendidikan mengenai kesihatan mental dan pengurusan emosi juga perlu diperkasakan sejak di bangku sekolah.

Media dan institusi agama boleh memainkan peranan besar untuk mendidik masyarakat. Keganasan bukan tanda kasih sayang, bukan juga lambang kekuatan seorang lelaki atau ketua keluarga.

Ia kerana hakikatnya, orang yang benar-benar kuat ialah mereka yang mampu menahan marah dan melindungi keluarganya.

Ingatlah “kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.”Jika kasih bertukar menjadi derita, maka runtuhlah sebuah institusi keluarga.

Usah biarkan anak-anak membesar dengan trauma.
Usah biarkan wanita menangis dalam diam.
Warga emas jangan biarkan hidup tanpa pembelaan.

Dan sesungguhnya, tiada siapa yang patut pulang ke rumah dalam keadaan ketakutan.

Ulasan berita ini disedikan oleh Editor Berita RTM, Zamzuri Zawawi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.