
KUALA LUMPUR, 3 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu, draf pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
- Memperkukuh peranan MARA sebagai institusi utama pembangunan Bumiputera dalam pendidikan dan keusahawanan.
- Perdana Menteri mengingatkan kepentingan tadbir urus baik selepas turun naik sepanjang 60 tahun.
- Majlis Sambutan 60 Tahun MARA dihadiri lebih 2,500 alumni, bekas pelajar, usahawan dan rakan industri.
Langkah itu penting bagi memperkukuh peranan MARA sebagai institusi utama dalam pembangunan Bumiputera, khususnya dalam bidang pendidikan dan keusahawanan.
“Dalam tempoh 60 tahun ini, memang ada pasang surut. Ada ketika isu tadbir urus dianggap paling lemah dan membimbangkan sebab itu, saya ucap terima kasih kepada Pengerusi MARA dan jawatankuasa yang memberi perhatian serius terhadap isu ini.
“Kita mahu legasi bumiputera bukan sahaja ke hadapan dalam menyuarakan kepentingan secara lantang, tetapi juga lebih tegas dalam memastikan tadbir urus yang baik.
“Justeru, saya mahu Akta MARA yang baharu disiapkan sebelum akhir tahun. Tidak perlu tunggu lama seperti kebiasaan sehingga tujuh atau lapan bulan. Berikan draf kepada saya dalam tempoh tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di ibu negara.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 2,500 individu terdiri daripada bekas alumni MARA, bekas pelajar, usahawan dan juga rakan industri yang berkolaborasi bersama MARA.