Sidang Kemuncak ASEAN 2026 fokus perdagangan serantau

Dr. S. Sri Kumar

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Sidang Kemuncak ASEAN 2026 dijangka memberi tumpuan kepada isu perdagangan serantau, susulan ketidaktentuan geopolitik global, gangguan harga minyak dan cabaran terhadap laluan perdagangan strategik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu memberi kesan langsung kepada aliran perdagangan, kos perniagaan dan kestabilan rantaian bekalan di rantau ini.
  • Usaha memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan serantau, termasuk antara Malaysia dan India.
  • Pendekatan itu selari dengan perbincangan BRICS dan ASEAN, termasuk penggunaan yuan China dalam urus niaga tertentu.
  • Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, Filipina (6 hingga 8 Mei) menumpukan keselamatan tenaga, jaminan bekalan makanan dan kestabilan serantau.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan BRICS-ASEAN, Dr. S. Sri Kumar berkata, isu-isu tersebut dilihat berupaya memberi kesan langsung kepada aliran perdagangan, kos perniagaan dan kestabilan rantaian bekalan di rantau ini.

Antara perkara yang dijangka menjadi perhatian ialah usaha memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan serantau, termasuk antara Malaysia dan India.

“Disebabkan gangguan harga minyak dan penutupan Selat Hormuz, kita tidak tahu sama ada ia akan terus dibuka atau ditutup. Antara perkara paling penting yang kita lihat ialah usaha untuk berdagang menggunakan mata wang tempatan.

“Saya fikir itu yang sedang cuba dilakukan oleh India dan Malaysia ketika ini, dan itu juga yang sedang cuba dilakukan oleh beberapa negara ASEAN,” katanya selepas Sidang Kemuncak Perniagaan Global 2026.

Pendekatan itu turut dilihat selari dengan perbincangan dalam kalangan negara BRICS dan ASEAN, termasuk penggunaan yuan China dalam urus niaga tertentu.

Meskipun dolar Amerika Syarikat masih memainkan peranan penting dalam perdagangan global, kemunculan blok ekonomi baharu seperti BRICS memberi ruang kepada rantau ini menilai semula kedudukan dan strategi perdagangan masing-masing.

ASEAN juga dilihat mempunyai potensi besar sebagai rantau tumpuan perniagaan, disokong pertumbuhan ekonomi pesat dan kemunculan beberapa ekonomi sedang membangun yang mampu menjadi pemacu baharu perdagangan global.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dijadualkan berlangsung di Cebu, Filipina dari 6 hingga 8 Mei ini, bawah Kepengerusian ASEAN 2026 di negara itu.

Sidang berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada beberapa agenda utama termasuk keselamatan tenaga, jaminan bekalan makanan, kestabilan serantau serta tindak balas bersama terhadap ketidaktentuan global.