ASEAN perlu perluas kerjasama strategik, perkukuh daya tahan ekonomi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 April ASEAN perlu terus komited memperkukuh peranannya sebagai platform kerjasama serantau dan antarabangsa dalam menghadapi landskap geopolitik yang semakin mencabar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perluas kerjasama strategik, ekonomi dan diplomatik dengan rakan di luar Asia Tenggara.
  • Buka peluang pasaran baharu bagi memperkukuh daya tahan ekonomi ASEAN.
  • Kekalkan kesepaduan serantau melalui komitmen politik, penglibatan serantau dan kerjasama multilateral.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, dalam hal ini, ASEAN perlu membentuk kerjasama yang konsisten dengan rakan di luar Asia Tenggara, khususnya dalam memperluas kerjasama strategik, ekonomi dan diplomatik.

Pendekatan ini mampu membuka peluang baharu, terutama dalam memperluas pasaran dan memperkukuh daya tahan ekonomi.

“ASEAN terdiri daripada negara-negara dengan tahap pembangunan ekonomi, sistem politik, dan latar budaya yang berbeza. Menyatukan kepelbagaian kepentingan nasional ke dalam satu kelompok serantau memerlukan banyak komitmen dan keazaman politik yang kukuh. Perbezaan ini menjadikan ASEAN sesuatu yang penting, tetapi pada masa yang sama, cabaran besar akan dihadapi dalam mengekalkan kesepaduan serantau.

“Atas sebab itu, ASEAN perlu kekal bersatu dan berpandangan ke hadapan menerusi penglibatan serantau. Dengan ini, ASEAN akan lebih bersedia untuk menghadapi tekanan luar, sekali gus mengekalkan perpaduan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Forum ‘Keutamaan ASEAN dan Kerjasama Rentas Serantau’ di sini, yang dihadiri kira-kira 150 peserta terdiri daripada penjawat awam, diplomat dan pakar antarabangsa.

Forum itu turut mengangkat kejayaan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia 2025, termasuk penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China dalam usaha memperkasa kerjasama pelbagai hala.