Piala Uber: Malaysia sedia uji kekuatan juara bertahan China

Pasangan beregu wanita Malaysia, Low Zi Yu (kanan) dan Nor Aqilah Maisarah/ Foto BERNAMA

HORSENS, 29 April – Skuad badminton wanita negara bersedia mengharungi ujian getir apabila berdepan juara bertahan, China, pada aksi suku akhir Piala Uber 2026 di Forum Horsens, di sini, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengurus Datuk Chong Juong Chain yakin semua pemain berada dalam keadaan bersedia dan akan berjuang habis-habisan.
  • China unggul dengan pemain bertaraf dunia termasuk perseorangan ranking tinggi dan beregu nombor satu dunia.
  • Malaysia tanpa Pearly Tan; gandingan muda Low Zi Yu-Noraqilah jadi senjata rahsia selepas menewaskan pasangan nombor tujuh dunia.

Pengurus pasukan Datuk Chong Juong Chain percaya barisan pemain yang diturunkan akan berjuang habis-habisan bagi memberi tentangan sengit kepada pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Uber yang sudah meraih 16 kejuaraan itu.

“Apa yang boleh saya katakan ketika ini, semua pemain berada dalam keadaan bersedia dan sedia berjuang.

“Tidak kira siapa lawan, sama ada China atau pasukan lain, kita tetap mahu melawan. Itu paling penting,” katanya kepada Bernama selepas majlis undian peringkat kalah mati, di sini, hari ini.

Di atas kertas, China jelas memiliki kelebihan dari segenap aspek apabila dibarisi pemain bertaraf dunia, antaranya perseorangan wanita nombor dua dunia, Wang Zhi Yi; Chen Yu Fei (No. 4); dan Han Yue (No. 5), selain beregu nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Malaysia yang turun tanpa kelibat pemain utama Pearly Tan susulan kecederaan belakang, akan diketuai pasangannya, M. Thinaah, bersama barisan lain termasuk beregu muda ranking ke-143 dunia Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan serta perseorangan utama negara, K. Letshanaa (No. 33).

Gandingan Zi Yu-Noraqilah dilihat mampu menjadi ‘senjata rahsia’ negara selepas mempamerkan prestasi mengagumkan setakat ini, termasuk mencipta kejutan menewaskan pasangan nombor tujuh dunia Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-17, 12-21, 21-19 ketika Malaysia tewas 1-4 kepada Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B, Isnin lalu.

Malaysia mara ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan B, manakala China muncul juara Kumpulan A.

Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Ini adalah penampilan pertama Malaysia di peringkat suku akhir dalam tempoh 16 tahun selepas kali terakhir layak pada edisi 2004, 2008 dan 2010.

Sebelum ini, skuad negara membuka kempen Kumpulan B dengan kemenangan 3-2 ke atas Turkiye, diikuti kejayaan membelasah Afrika Selatan 5-0, sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir.

Saingan Piala Uber 2026 yang bermula pada 24 April lalu akan melabuhkan tirai pada 3 Mei ini.- BERNAMA