
KUCHING, 29 April- Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah ke Indonesia dalam operasi di kawasan sempadan Serikin, di sini, pada Isnin.
- Anggota Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja bertindak pantas di bawah Briged Ketiga Infantri Malaysia.
- Seorang warga Indonesia ditahan tanpa dokumen ketika cuba melintas laluan tidak sah sambil membawa bungkusan berisi dadah untuk diseludup ke Indonesia.
- Rampasan dianggarkan RM127,350 termasuk 795g syabu, 250 pil Eramin 5 dan tiga botol cecair vape dipercayai mengandungi bahan 'mushroom'.
Menurut kenyataan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia, kejayaan itu hasil tindakan pantas anggota Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja di bawah Briged Ketiga Infantri Malaysia.
Kenyataan itu memaklumkan, dalam kejadian kira-kira pukul 10.00 malam, seorang lelaki warga Indonesia ditahan ketika cuba melintasi sempadan melalui laluan tidak sah dengan membawa beberapa bungkusan mencurigakan.
“Pemeriksaan terhadap suspek mendapati dia tidak mempunyai sebarang dokumentasi perjalanan dan dokumen pengenalan diri.
“Hasil soal siasat mendapati suspek dalam perjalanan membawa bungkusan berisi dadah dari Malaysia untuk diseludup ke Indonesia,” menurut kenyataan TDM hari ini.
Rampasan melibatkan pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM127,350 iaitu bungkusan syabu seberat 795 gram bernilai RM119,250, 250 biji pil Eramin 5 bernilai RM7,500 dan tiga botol cecair vape dipercayai mengandungi bahan terlarang ‘mushroom’ dianggarkan bernilai RM600.
“TDM melalui pasukan yang beroperasi akan terus meningkatkan kawalan keselamatan di persempadanan dalam memastikan sempadan Sarawak dan Sabah terus terpelihara daripada sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan,” menurut kenyataan itu lagi.
Suspek telah dibawa ke Balai Polis Bau untuk tindakan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).