KPDN KL bongkar taktik ‘runner’ seleweng diesel guna ‘fleet card’

KPDN KL menahan seorang lelaki tempatan, 35 tahun bagi membantu siasatan/Foto KPDN KL

KUALA LUMPUR, 28 April – Taktik menggunakan ‘runner’ untuk membeli diesel bersubsidi di beberapa stesen minyak sekitar Lembah Klang terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menahan seorang lelaki tempatan di sekitar ibu negara lewat tengah malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket dipercayai menggunakan kad armada untuk pembelian dan membuat pembayaran tunai bagi mengaburi pihak berkuasa.
  • Sebuah motolori diubah suai dengan tiga tangki tambahan, kapasiti keseluruhan 3,000 liter, dirampas bernilai sekitar RM51,500.
  • KPDN menganggarkan ketirisan subsidi sehingga RM11,880 jika tangki tambahan 3,000 liter diisi penuh.
  • Tindakan tegas akan diambil termasuk mencadangkan pembatalan atau penggantungan kelulusan kad armada di bawah SKDS; kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan.

Kegiatan itu dipercayai menggunakan khidmat ‘runner’ yang berurusan di kaunter stesen minyak dengan menggunakan kad armada atau ‘fleet card’.

Modus operandi sindiket turut dipercayai membuat pembayaran secara tunai bagi mengaburi pihak berkuasa.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman, berkata lelaki berusia 35 tahun yang juga pemandu lori itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati dia gagal mengemukakan dokumen sah bagi memiliki dan membawa barang kawalan berjadual berkenaan.

“Turut dirampas sebuah motolori yang diubah suai dengan tiga tangki tambahan berkapasiti keseluruhan 3,000 liter, menjadikan anggaran keseluruhan nilai rampasan mencecah RM51,500.

“Siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dipercayai membuat pembelian diesel di beberapa stesen minyak sekitar Lembah Klang sebelum dibawa ke stor berhampiran untuk tujuan penyimpanan dan penyelewengan,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, tindakan itu menyebabkan ketirisan subsidi kerajaan yang dianggarkan boleh mencecah RM11,880 sekiranya tangki tambahan berkapasiti 3,000 liter itu diisi penuh.

“KPDN tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas subsidi kerajaan dan tindakan tegas akan terus diambil tanpa mengira modus operandi yang digunakan,” tegasnya.

Tambah beliau, tindakan akan diambil termasuk mencadangkan pembatalan atau penggantungan kelulusan kad armada ke atas mana-mana pihak yang didapati salah guna kemudahan di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS)

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau permit yang sah.