
PARIS, 29 April – Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique akui pasukannya perlu menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol pada aksi timbal balik di Munich minggu depan bagi memastikan kemaraan ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah.
- PSG menang 5-4 dalam separuh akhir pertama yang penuh dramatik.
- PSG mendahului 5-2 selepas dua gol pantas pada babak kedua, namun Bayern membalas dengan dua gol segera.
- PSG membawa kelebihan satu gol ke Munich, tetapi perlawanan timbal balik dijangka sukar.
“Saya baru sahaja mengajukan soalan yang sama kepada staf saya lima minit lalu. Berapa banyak gol yang kita perlukan untuk memenangi perlawanan ini (pada aksi timbal balik) Sekurang-kurangnya tiga gol, itu pendapat kami.
“Dalam masa seminggu, kami akan ke Munich, sebuah stadium yang kami gemari dan menyimpan kenangan indah. Kami menjuarai Liga Juara-Juara pertama di sana, dan kami akan bermain di ‘rumah’ sekali lagi,” kata Enrique.
Kenyataan itu dibuat selepas PSG melakar kemenangan 5-4 menewaskan Bayern Munich dalam aksi separuh akhir pertama yang berlangsung penuh dramatik, sekali gus mencatat jumlah jaringan tertinggi pada peringkat ini.
Dalam aksi tersebut, Bayern terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti minit ke-17 oleh Harry Kane sebelum PSG bangkit mendahului 2-1 hasil gol Khvicha Kvaratskhelia dan Joao Neves.
Pasukan pelawat kembali menyamakan kedudukan melalui Michael Olise pada minit ke-41, namun penalti masa kecederaan oleh Ousmane Dembelé memastikan PSG mendahului 3-2 sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, PSG dilihat hampir mengesahkan kemenangan selesa apabila menambah dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Kvaratskhelia dan Dembele untuk mendahului 5-2 pada minit ke-58.
Bagaimanapun, Bayern tidak mengalah apabila merapatkan jurang dengan dua gol pantas hasil jaringan Dayot Upamecano dan Luis Díaz, sekali gus menghidupkan peluang mereka menjelang perlawanan kedua.
Walaupun membawa kelebihan satu gol, PSG dijangka berdepan cabaran getir di Munich dengan Bayern masih berpeluang mengatasi defisit keputusan. – REUTERS