
KUALA LUMPUR, 28 April – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa Datuk Seri Aminuddin Harun akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
- Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz menyampaikan titah semasa pertemuan dengan Perdana Menteri.
- Keputusan lanjut tertakluk kepada proses dan pertimbangan pihak berkuasa negeri menurut lunas undang-undang.
- Krisis pentadbiran Negeri Sembilan tidak menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan; Perdana Menteri akan bertemu Presiden UMNO membincangkan perkembangan.
Beliau memaklumkan, perkara itu dititahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ketika beliau menghadap baginda semalam.
“Semalam saya menghadap Tuanku Muhriz dan menjunjung kasih atas pertimbangan baginda untuk pertamanya atas titah baginda supaya Aminuddin meneruskan tugas sebagai Menteri Besar demi kepentingan negeri dan kebajikan rakyat.
“Keputusan setakat ini, dengan titah Tuanku yang saya dengar semalam, kerajaan negeri harus berjalan seperti biasa sehingga ada keperluan untuk membawa apa-apa perubahan,” katanya kepada pemberita selepas sesi Temu Anwar dan peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan sebarang keputusan lanjut adalah tertakluk kepada proses dan pertimbangan pihak berkuasa negeri berdasarkan lunas undang-undang.
“Setakat ini saya telah minta Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin) jalankan (tugas) seperti biasa dan proses undang-undang tidak menghalang, dan kita juga tidak menghalang proses undang-undang itu diteruskan dengan baik. Tidak menyentuh sama ada institusi Raja, atau Undang, kita muliakan,” katanya.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan, krisis pentadbiran yang berlaku di Negeri Sembilan tidak mewujudkan implikasi lain termasuk menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Malah beliau dijangka bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini untuk membincangkan mengenai perkembangan di Negeri Sembilan itu.