
HULU TERENGGANU, 27 April – Allahyarham Muhammad Syukri Bazli, 31 tahun yang telah mendermakan organnya kepada insan lebih memerlukan, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Kampung Peroh, Ajil pukul 9.30 malam pada Ahad.
- Jenazah disembahyangkan di Masjid Tok Dor selepas Solat Isyak, dihadiri penduduk setempat dan ahli keluarga.
- Organ arwah dihantar ke Kuala Lumpur dan dipindahkan kepada tiga pesakit, dibawa dengan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat.
- Bapa, Bazli Yahya atau Pok Li, redha dengan pemergian dan menggalakkan masyarakat mempertimbangkan pendermaan organ.
- Allahyarham anak kedua daripada lima beradik, telah berkahwin dan meninggalkan tiga cahaya mata.
Terdahulu jenazah telah disembahyangkan di Masjid Tok Dor, Ajil selepas solat Isyak berjemaah bersama penduduk setempat dan ahli keluarga yang turut hadir untuk menyempurnakan perjalanan terakhir arwah.
Bapa kepada arwah, Bazli Yahya, 61 tahun atau lebih mesra disapa Pok Li yang juga bertugas dengan badan bukan kerajaan (NGO) pengurusan jenazah di Terengganu ini redha dengan pemergian Muhammad Syukri.
“Organ itu telah dihantar ke Kuala Lumpur untuk dipindahkan kepada tiga pesakit lain. Ia dibawa menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Wakaf Tapai ke Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah, sedikit sebanyak arwah anak Pok Li dapat menyumbang kepada masyarakat. Pok Li berharap masyarakat dapat mempertimbangkan perkara ini demi kebaikan orang lain,” katanya ketika ditemui RTM.
Allahyarham Muhammad Syukri merupakan anak kedua daripada lima beradik dan telah mendirikan rumah tangga serta meninggalkan tiga cahaya mata.
Muhammad Syukri menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira pukul 12.06 tengah malam pada Ahad, sebelum dibawa ke bilik bedah sekitar pukul 5.00 pagi bagi proses penuaian organ.