Aplikasi MyDIMS pertingkat amaran awal bencana secara bersepadu

Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim melancarkan aplikası MyDIMS sempena Resilient Asia 2026, di sini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 April– Aplikasi Sistem Pengurusan Maklumat Bencana Malaysia (MyDIMS) diperkenalkan bagi memperkukuh penyampaian maklumat serta amaran awal bencana secara pantas dan bersepadu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Notifikasi segera kepada pengguna dalam radius 25 kilometer dari kawasan bencana.
  • Membolehkan pengguna menyalurkan laporan kejadian untuk pengesahan sebelum hebahan dibuat.
  • Menyediakan panduan navigasi ke Pusat Pemindahan Sementara, status dan kapasiti serta pautan kecemasan MERS 999 dan akses sistem lain.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim berkata, aplikasi itu mengintegrasikan data serta amaran daripada pelbagai agensi.

Jelas beliau, segala maklumat berkaitan boleh diakses orang ramai menerusi satu platform sahaja.

“Sistem ini menyediakan maklumat secara menyeluruh dan bersifat dua hala, selaras dengan keperluan semasa.

Amaran bencana dapat disampaikan dengan cepat selain membantu pengguna merancang perjalanan termasuk mengenal pasti laluan yang ditutup,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan aplikasi berkenaan sempena program Resilient Asia 2026, di sini.

Menurut beliau, MyDIMS turut membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kejadian bencana seperti banjir dan penutupan jalan untuk pengesahan sebelum hebahan dibuat.

Antara kelebihan utama aplikasi itu ialah keupayaan menghantar notifikasi segera sekiranya pengguna berada dalam radius 25 kilometer dari kawasan bencana.

“Selain itu, ia menyediakan panduan navigasi ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta maklumat status dan kapasiti semasa.

Aplikasi tersebut turut dilengkapi pautan kecemasan MERS 999 serta akses kepada pelbagai sistem lain termasuk myCuaca, InfoBanjir dan Bencana JKR,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Meor Ismail berkata, pembangunan MyDIMS mencerminkan keperluan kepada sistem lebih canggih selaras peranan NADMA sebagai penyelaras maklumat bencana negara.

“Sistem ini akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa selaras perkembangan teknologi,” katanya.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi MyDIMS melalui Google Play Store dan Apple App Store.