
KUALA LUMPUR, 24 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kumpulan penculik didalangi warga Korea Selatan dan membekukan mata wang kripto Tether bernilai USDT2.46 juta (kira-kira RM11.5 juta) yang dipercayai sebahagian daripada wang tebusan.
- Mangsa dipintas pada 17 April, diculik dari Genting Highlands, dibawa ke rumah inap di Melaka; suspek tuntut wang tebusan USDT10 juta, rakan bayar USDT3 juta.
- Pasukan Khas JSJ Bukit Aman bersama Kontinjen Pahang dan Melaka menyerbu 21 April, selamatkan mangsa cedera; tahan tiga lelaki Korea, rampas pistol tiruan dan peralatan.
- Mangsa disenarai merah oleh pihak Korea Selatan; akan melalui tindakan undang-undang. Suspek direman hingga 28 April, kes disiasat di bawah Akta Penculikan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata operasi khas itu dijalankan selepas menyelamatkan seorang lelaki warganegara sama yang diculik ketika dalam perjalanan turun dari Genting Highlands, Pahang minggu lepas.
Beliau berkata kejadian bermula pada 17 April lepas apabila mangsa berusia 40 tahun yang memandu sebuah kenderaan dipintas oleh sekumpulan suspek sebelum ditarik, dipukul dan dibawa lari ke sebuah rumah inap di Melaka.
“Suspek telah menghubungi rakan mangsa dan menuntut wang tebusan sebanyak USDT10 juta (kira-kira RM39.6 juta) dalam bentuk mata wang kripto. Rakan mangsa dilaporkan telah membayar sebanyak USDT3 juta (RM11.9 juta) ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.
Bertindak atas dua laporan polis yang diterima, Kumar berkata satu pasukan khas (Task Force) melibatkan JSJ Bukit Aman serta Kontinjen Pahang dan Melaka telah ditubuhkan bagi mengesan mangsa.
“Hasil risikan rapi, polis menyerbu sebuah rumah inap di Melaka pada 21 April dan berjaya menyelamatkan mangsa yang dalam keadaan selamat meskipun mengalami kecederaan akibat dipukul dan diikat sepanjang tempoh dikurung.
“Susulan itu, tiga lelaki warga Korea Selatan berusia antara 28 hingga 40 tahun telah ditahan. Polis turut merampas sepucuk pistol yang dipercayai tiruan yang digunakan untuk mengugut mangsa serta peralatan lain seperti tali dan pita pelekat,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berjaya mengesan aliran wang itu dan membekukan RM11.5 juta daripada tiga akaun kripto untuk tempoh sembilan bulan bagi siasatan lanjut.
Kumar mendedahkan semakan mendapati mangsa merupakan individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Korea Selatan menerusi Notis Merah Polis Antarabangsa.
“Mangsa telah berada di negara ini sejak 2016 dan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan dipercayai terlibat dalam kumpulan jenayah terancang dan aktiviti perjudian tidak sah di negara asalnya. Dia akan melalui proses undang-undang susulan Notis Merah terbabit,” katanya.
Kesemua suspek kini direman hingga 28 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.-BERNAMA