
KUALA LUMPUR, 24 April – Pemain negara Muhammad Haziq Hairul Nizam menumpukan kepada persediaan mental selain aspek fizikal, menjelang Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, di sini dari 16 hingga 23 Mei.
- Haziq tekankan persediaan mental kukuh kerana tekanan bermain di laman sendiri perlu diatasi.
- Skuad berlatih sejak Januari untuk kekalkan momentum selepas menamatkan kemarau 34 tahun pingat emas regu berpasukan.
- Haziq sedar pasukan lain, terutama Thailand, berpotensi bangkit menuntut semula maruah mereka.
- Malaysia diundi Kumpulan A (regu) bersama Jepun dan Singapura; Kumpulan B (regu berpasukan) bersama India dan Myanmar.
Selaku tekong, Haziq berkata persediaan rapi dari segi mental sangat penting memandangkan tekanan bermain di laman sendiri pastinya lebih tinggi, apatah lagi perlu memberikan aksi terbaik sepanjang perlawanan di hadapan penonton tanah air.
“Bagi saya sendiri, (bermain di laman sendiri) ada tekanannya juga. Jadi saya perlu kuatkan mental. Siapa tak nak beri yang terbaik apabila bermain di tempat sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pemain berusia 24 tahun itu berkata skuad negara telah menjalani latihan sejak Januari lepas, bagi memastikan momentum kemenangan dapat diteruskan selepas berjaya menamatkan kemarau 34 tahun pingat emas acara regu berpasukan pada Sukan SEA Thailand, tahun lepas.
“Kita tidak boleh selesa dengan kejayaan itu. Saya yakin, pasukan lain terutamanya Thailand pasti akan bangkit menebus semula maruah yang tercalar sebelum ini.
“Kami sepasukan memang tidak boleh lalai dengan kejayaan di Sukan SEA Thailand. Untuk Piala Dunia kita akan cuba main seperti biasa dan bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama Malaysia,” katanya.
Pada Piala Dunia 2026, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Singapura bagi acara regu manakala bagi acara regu berpasukan pasukan negara diletakkan dalam Kumpulan B bersama India dan Myanmar.
Pada edisi 2024 di Kuala Lumpur, Malaysia muncul juara acara regu dan beregu Divisyen Premier, manakala Thailand merangkul kejuaraan regu berpasukan Divisyen Premier. – BERNAMA