PM penuhi jadual padat lawatan kerja sehari ke Kelantan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, bagi menyempurnakan Perasmian Terminal Baharu LTSIP. Foto RTM

KOTA BHARU, 18 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja sehari ke Kelantan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada 9.40 pagi bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
  • Diiringi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad.
  • Menyempurnakan perasmian Terminal Baharu LTSIP dengan lebih 20 kaunter, parkir bertingkat, laluan teksi dan operasi tanpa tunai.
  • Projek naik taraf bernilai RM440 juta, kapasiti meningkat kepada empat juta penumpang setahun daripada 1.5 juta.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu pada pukul 9.40 pagi, diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Turut serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Ketibaan beliau disambut Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Memulakan lawatan, Datuk Seri Anwar dijadual menyempurnakan Majlis Perasmian Terminal
Baharu LTSIP Kota Bharu.

Terminal baharu itu dilengkapi lebih 20 kaunter penerbangan, kemudahan parkir bertingkat, laluan khas pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang parkir pesawat serta sistem operasi tanpa tunai bagi meningkatkan kecekapan dan keselesaan penumpang.

Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP itu melibatkan kos RM440 juta dan dijangka mampu menampung hingga empat juta penumpang setahun, meningkat berbanding kapasiti 1.5 juta sebelum ini.

Seterusnya, Datuk Seri Anwar akan menghadiri Mesyuarat Pembangunan Daerah Pasir Puteh di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.

Lawatan diteruskan dengan menghadiri sesi ramah mesra di Masjid Gong Chapa, Pasir Puteh.

Perdana Menteri juga dijadual akan menghadiri Mini Konvensyen Keadilan Kelantan di sebuah hotel di ibu negeri itu, pada sebelah petang.##