Penguatkuasaan tegas, komprehensif banteras sepenuhnya isu buli – PAT

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman

KUALA LUMPUR, 16 April Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan penguatkuasaan dan tindakan tegas, menyeluruh serta komprehensif dalam masa terdekat bagi membanteras sepenuhnya isu buli dan keganasan dalam kalangan anggotanya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu buli bukan kes terpencil; perlu ditangani serius agar tidak menjadi budaya dalam organisasi.
  • Pasukan petugas khas diarahkan ditubuhkan untuk meneliti, memperkemas dan melaksanakan intervensi lebih berkesan.
  • Perketat saringan pengambilan rekrut termasuk penilaian emosi sebelum kemasukan, semasa latihan dan ketika bertugas.
  • Mana-mana anggota terlibat akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi; kes jenayah akan diserahkan kepada sistem perundangan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman menegaskan, kegiatan seumpama itu bukan kes terpencil, sebaliknya perlu ditangani secara serius bagi memastikan ia tidak terus menular dan menjadi budaya dalam organisasi.

Sebuah pasukan petugas khas telah diarah ditubuhkan bagi meneliti, memperkemas serta melaksanakan intervensi yang lebih berkesan.

“Sekiranya wujud masalah dari segi emosi, kita mempunyai pendekatan termasuk penggunaan kaedah dan teknik tertentu untuk menanganinya. Ini melibatkan proses sebelum kemasukan rekrut, semasa latihan mahupun ketika anggota bertugas,” katanya.

Pendekatan lain yang sedang dicadangkan termasuk memperketat proses awal pengambilan rekrut dengan menilai bukan sahaja aspek fizikal, tetapi juga emosi melalui saringan yang lebih menyeluruh.

“Kita akan melaksanakan saringan sebaik mungkin. Walaupun ada perkara dalaman yang sukar dikenal pasti, kita akan berusaha menilai dan memantau, termasuk ketika mereka sedang bertugas,” katanya ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Beliau mengulas kes seorang anggota tentera berpangkat koperal yang didakwa memukul tujuh anggota lain sehingga mengakibatkan kematian salah seorang mangsa dalam kejadian di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Tegasnya, mana-mana anggota yang terbabit dalam kegiatan seumpama itu akan dikenakan tindakan tegas, tanpa kompromi.

“Tindakan akan diambil sama ada melalui saluran dalaman ATM atau sekiranya melibatkan unsur jenayah, kes akan diserahkan kepada sistem perundangan negara dan itu janjinya,” jelasnya.