
PUTRAJAYA, 14 April – Langkah kerajaan menaikkan kadar bantuan tunai bagi inisiatif BUDI Diesel Individu dan BUDI Agri-Komoditi merupakan langkah segera bagi membantu mengurangkan tekanan rakyat, susulan krisis tenaga global.
- BUDI Diesel Individu dinaikkan kepada RM400 sebulan, manfaat kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel, tambahan peruntukan RM15 juta sebulan.
- BUDI Agri-Komoditi dinaikkan kepada RM400 sebulan, memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil, peruntukan tambahan kira-kira RM20 juta sebulan.
- Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) dinaikkan kepada RM300 sehektar semusim bagi musim penanaman 2026, manfaat hampir 200,000 pesawah.
- Kerajaan komited ambil langkah proaktif mengurus tekanan kos dan memastikan keselamatan bekalan makanan; pelaksanaan dipantau Kementerian Kewangan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu mencerminkan pendekatan bersasar kerajaan dalam melindungi kumpulan yang terkesan akibat kenaikan kos bahan api.
“Kerajaan MADANI bersetuju menaikkan kadar bantuan tunai BUDI Diesel Individu kepada RM400 sebulan berbanding RM300 bagi April 2026. Langkah ini akan memanfaatkan sekitar 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung dengan dana tambahan RM15 juta sebulan,” katanya dalam Taklimat Harian Krisis Tenaga Global di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar bantuan tunai bagi inisiatif BUDI Agri-Komoditi kepada RM400 sebulan berbanding RM300 sebelum ini yang akan memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil dengan peruntukan tambahan kira-kira RM20 juta sebulan.
Selain itu, Kerajaan MADANI turut menambah baik bantuan kepada sektor pertanian bagi memastikan kelangsungan pengeluaran bekalan makanan negara.
“Kerajaan MADANI juga bersetuju menaikkan kadar Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) kepada RM300 sehektar semusim bagi musim penanaman 2026 berbanding
RM160 tahun lalu,” katanya.
Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah, melibatkan tambahan peruntukan sekitar RM40 juta.
Tegas beliau, kerajaan komited untuk mengambil langkah proaktif bagi mengurus tekanan kos serta memastikan bekalan makanan negara terus terjamin dalam tempoh ketidaktentuan global.
Pelaksanaan inisiatif ini akan dipantau oleh Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa.