Lebih 100,000 pelawat kunjungi Rumah Kelahiran P.Ramlee

Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib bergambar sambil menunggang skuter yang dipamerkan di Galeri P.Ramlee semasa melawat Rumah Kelahiran P.Ramlee/Foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 11 April – Lebih 100,000 pelawat direkodkan mengunjungi Rumah Kelahiran P. Ramlee setiap tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sambutan ulang tahun ke-100 pada Jun akan dijadikan platform angkat legasi P. Ramlee ke peringkat antarabangsa.
  • Kebanyakan pelawat berasal dari Indonesia, Thailand dan Singapura.
  • Rumah Kelahiran P. Ramlee dan Pustaka Peringatan P. Ramlee di Kuala Lumpur dua destinasi penting bagi pelawat.
  • Arkib Negara memproses lebih 10,000 bahan sejarah untuk Memorial Tun Abdullah Ahmad Badawi, projek RMK13, siap dalam lima tahun.

Ketua Pengarah Arkib Negara, Zaidin Mohd Noor berkata jumlah kunjungan itu kebanyakannya dari Indonesia, Thailand dan Singapura.

Tambahnya, sambutan ulang tahun ke-100 rumah kelahiran seniman agung pada Jun depan bakal dijadikan platform utama bagi mengangkat semula legasi Tan Sri P. Ramlee ke peringkat antarabangsa.

“Di sini kita ada Rumah Kelahiran P.Ramlee, di Kuala Lumpur pula kita ada Pustaka Peringatan P.Ramlee. Dua detinasi untuk pelancong ataupun pelawat.

“Memang di laman sesawang Arkib Negara memang ada maklumat berkaitan tempat tersebut. Pada masa yang sama, kit akan bangunkan satu laman sesawang untuk sambutan ulang tahun itu. Arkib Negara akan umumkan di pelbagai platform termasuklah di media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program “Kayuhan Jejak Seniman” yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib di sini hari ini.

Dalam pada itu, Arkib Negara kini dalam fasa akhir memproses lebih 10,000 bahan sejarah bagi pembangunan Memorial Tun Abdullah Ahmad Badawi di Bertam, Pulau Pinang.

Jelasnya, projek yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu dijangka siap dalam tempoh lima tahun hasil kerjasama erat dengan kerajaan negeri.

Koleksi merangkumi rekod rasmi pentadbiran, penglibatan politik, serta sumbangan beliau dalam gagasan Islam Hadhari.