Rundingan damai AS-Iran: Isu nuklear, Selat Hormuz jadi agenda utama

Delegasi Iran tiba di Islamabad bagi rundingan damai Iran-AS/AFP

ISLAMABAD, 11 April -Rundingan damai peringkat tinggi antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang bermula di sini pada Jumaat, bakal menentukan hala tuju keselamatan Asia Barat dengan fokus utama terarah kepada isu senjata nuklear dan pembukaan semula Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Delegasi Iran, diketuai Speaker Mohammad Bagher Ghalibaf, tuntut gencatan senjata di Lubnan dan pencairan aset Iran beku sebelum rundingan rasmi.
  • Ghalibaf berkata mereka mempunyai niat baik tetapi tiada kepercayaan terhadap Amerika berdasarkan pengalaman kegagalan janji sebelum ini.
  • Naib Presiden AS JD Vance bersama Jared Kushner beri amaran agar Teheran tidak mempermainkan AS; pasukan perunding tidak akan bertolak ansur.
  • Situasi Lubnan kekal meruncing; Israel sedia runding kerajaan Lubnan di Washington tetapi menolak rundingan dengan Hizbullah.

Presiden AS, Donald Trump menegaskan bahawa matlamat tunggal yang merangkumi “99 peratus” rundingan tersebut adalah bagi memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear, selain berikrar akan membuka semula Selat Hormuz yang menjadi laluan kritikal bekalan minyak dunia “dengan atau tanpa” kerjasama Teheran.

Bagaimanapun, delegasi Iran yang diketuai Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf, menetapkan syarat keras iaitu menuntut gencatan senjata di Lubnan dan pencairan aset Iran yang dibekukan sebelum sebarang rundingan rasmi dimulakan.

“Kami mempunyai niat yang baik tetapi kami tidak mempunyai kepercayaan terhadap Amerika berdasarkan pengalaman kegagalan janji sebelum ini,” kata Ghalibaf setibanya beliau di ibu negara Pakistan.

Naib Presiden AS, JD Vance yang dihantar khas oleh Trump bagi mengetuai delegasi Washington bersama Jared Kushner, memberi amaran agar Teheran tidak cuba “mempermainkan” AS dalam rundingan kali ini.

“Jika mereka sedia berunding dengan ikhlas, kami sedia menghulurkan tangan. Jika tidak, pasukan perunding kami tidak akan bertolak ansur,” tegas Vance.

Isu Selat Hormuz turut menjadi tumpuan apabila Trump menyifatkan tindakan Iran menggunakan perairan antarabangsa sebagai “pemerasan jangka pendek” terhadap dunia.

Beliau memberi jaminan bahawa laluan yang mengendalikan satu perlima bekalan minyak mentah dunia itu akan dibuka semula dalam masa terdekat.

Di sebalik gencatan senjata dua minggu yang dipersetujui Selasa lalu, situasi di Lubnan kekal meruncing.

Israel mengumumkan kesediaan untuk berunding dengan kerajaan Lubnan di Washington minggu depan, namun menolak sebarang rundingan dengan kumpulan Hizbullah.

Jurucakap Israel mendakwa Hizbullah kekal sebagai penghalang utama perdamaian, sementara serangan Israel di Lubnan dilaporkan telah mengorbankan lebih 1,950 orang setakat ini, termasuk 350 kematian pada hari pertama gencatan senjata AS-Iran dikuatkuasakan.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menyifatkan rundingan di Islamabad ini sebagai fasa hidup atau mati dalam menentukan kestabilan Asia Barat.

Kawalan keselamatan ketat telah dikuatkuasakan di sekitar venue rundingan dengan semua laluan ke Hotel Serena disekat bagi memastikan kelancaran mesyuarat yang dianggap paling kritikal dalam dekad ini. – AFP