Washington jadi pengantara rundingan Israel-Lubnan

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 10 April – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) bakal menjadi tuan rumah bagi rundingan antara Israel dan Lubnan di Washington pada minggu depan, di tengah-tengah kebimbangan antarabangsa bahawa kempen serangan udara Israel mampu meranapkan gencatan senjata rapuh antara AS dan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan udara Israel di Lubnan meragut sekurang-kurangnya 303 nyawa dan mencederakan 1,150 orang.
  • Beirut menuntut gencatan senjata dilaksanakan terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang rundingan langsung dengan Israel.
  • Netanyahu arahkan rundingan terus untuk fokus pada pelucutan senjata Hizbullah yang disokong Iran.
  • Keganasan berterusan mengancam rundingan damai antarabangsa termasuk persidangan di Pakistan dan menimbulkan kebimbangan pemimpin dunia.

Pengumuman itu dibuat susulan serangan udara ganas oleh Israel di Lubnan pada Rabu yang mengorbankan ratusan nyawa, sekali gus menggegarkan perjanjian gencatan senjata yang baru sahaja berkuat kuasa kurang daripada 48 jam.

“Kami mengesahkan bahawa Jabatan Negara akan menganjurkan pertemuan minggu depan bagi membincangkan rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung membabitkan Israel dan Lubnan,” menurut seorang pegawai kanan AS pada Khamis.

Langkah itu selari dengan arahan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu kepada menterinya untuk mengusahakan rundingan terus dengan Lubnan, yang memfokuskan kepada pelucutan senjata kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.

Bagaimanapun, seorang pegawai kerajaan Lubnan memberitahu AFP bahawa Beirut menuntut gencatan senjata dilaksanakan terlebih dahulu sebelum memasuki sebarang proses rundingan dengan Israel.

Situasi di lapangan kekal tegang apabila Hizbullah melaporkan pertempuran dengan tentera Israel di selatan Lubnan pada Khamis.

Pihak berkuasa Lubnan sebelum itu mengesahkan serangan Israel pada Rabu telah meragut sekurang-kurangnya 303 nyawa dan mencederakan 1,150 yang lain.

Keganasan yang berterusan itu turut membayangi rundingan damai yang dijadualkan berlangsung di Pakistan pada Sabtu ini.

Naib Presiden AS JD Vance dijangka mengetuai delegasi ke Islamabad, diiringi utusan khas Steve Witkoff dan menantu Donald Trump, Jared Kushner.

Rundingan di Pakistan itu pada asalnya bertujuan membincangkan penamatan konflik secara menyeluruh, termasuk tuntutan utama AS agar Iran membuka semula Selat Hormuz.

Namun, Tehran menyifatkan serangan Israel ke atas Lubnan telah menjadikan rundingan tersebut “tidak bermakna”.

Kebimbangan mengenai kegagalan proses damai ini turut disuarakan oleh pemimpin dunia, termasuk Canselor Jerman Friedrich Merz yang memberi amaran bahawa kemusnahan di Lubnan boleh menyebabkan keseluruhan proses perdamaian menemui jalan buntu.

Meskipun Netanyahu menegaskan bahawa Lubnan tidak termasuk dalam syarat gencatan senjata dengan Iran, Presiden Donald Trump memberitahu NBC News bahawa beliau telah menerima jaminan daripada pemimpin Israel itu bahawa serangan akan mula “dikurangkan” dan lebih “berpada-pada”. – AFP