Pembonceng maut, ambulans langgar motosikal

FOTO IPD Papar

PAPAR, 9 April – Seorang maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah ambulans dan motosikal yang berlaku pagi Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Motosikal tiba-tiba memasuki laluan ambulans sehingga pemandu tidak sempat membrek dan pelanggaran tidak dapat dielakkan.
  • Impak menyebabkan kedua mangsa terjatuh; penunggang cedera ringan, pembonceng cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia pukul 4.10 petang.
  • Polis menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Ketua Polis Daerah Papar, Penguasa Polis Supt Heryan Mohd Tahir berkata, kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu berlaku apabila ambulans yang dalam perjalanan dari Papar ke Kota Kinabalu terlanggar sebuah motosikal dinaiki pasangan suami isteri.

Menurutnya, motosikal berkenaan secara tiba-tiba memasuki laluan ambulans menyebabkan pemandu tidak sempat membrek sebelum melanggar bahagian belakang kenderaan itu.

“Motosikal tersebut dipercayai memasuki laluan ambulans secara tiba-tiba menyebabkan pelanggaran tidak dapat dielakkan.

“Impak pelanggaran menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan raya,” katanya.

Penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan manakala pembonceng cedera parah di bahagian kepala.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pembonceng disahkan meninggal dunia pada pukul 4.10 petang.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.