
BINTULU, 9 April – Sektor kesihatan perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi serta perubahan landskap kesihatan global.
- Pemodenan perkhidmatan melibatkan pembangunan minda profesional, budaya kerja berkualiti dan keupayaan menyesuaikan diri dengan inovasi baharu.
- Pengukuhan budaya penyelidikan dalam profesion Penolong Pegawai Perubatan melalui penerbitan jurnal seperti JOMMA.
- Pembangunan Standard Practice Guidelines, modul latihan PHCALS dan model pementoran untuk memastikan perkhidmatan selamat dan berkualiti.
- Nilai kemanusiaan seperti empati dan integriti mesti dikekalkan walaupun teknologi berkembang; tangani NCD, kesihatan mental dan penjagaan komuniti kompleks.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, pemodenan perkhidmatan kesihatan bukan hanya tertumpu kepada penggunaan teknologi canggih, malah turut melibatkan pembangunan minda profesional, budaya kerja berkualiti serta keupayaan menyesuaikan diri dengan inovasi baharu.
Beliau berkata profesion Penolong Pegawai Perubatan kini semakin berkembang melalui pengukuhan budaya penyelidikan, termasuk penerbitan jurnal serta pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik.
“Hari ini, kita melihat lahirnya budaya penyelidikan melalui Journal of Malaysia Medical Assistants (JOMMA) sebagai bukti kematangan pengamal klinikal yang berpaksi kepada amalan berasaskan bukti (evidence-based practice).
“Komitmen ini terus diperkukuh menerusi pembangunan Standard Practice Guidelines bagi disiplin Cardio Perfusion dan Cardio Thoracic, selain pembangunan modul latihan PHCALS serta pelancaran model pementoran Penolong Pegawai Perubatan hari ini.
“Kesemua inisiatif ini mencerminkan iltizam jitu dalam menjamin perkhidmatan yang selamat, berkualiti dan setanding dengan piawaian antarabangsa”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Bintulu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan aspek kualiti, keselamatan, empati dan integriti perlu terus menjadi teras penyampaian perkhidmatan kesihatan. Meskipun teknologi semakin berkembang, nilai kemanusiaan seperti memahami dan menenangkan pesakit tetap tidak boleh digantikan.
Sektor kesihatan kini turut berdepan cabaran peningkatan penyakit tidak berjangkit, isu kesihatan mental serta keperluan penjagaan komuniti yang semakin kompleks.