Shell pantau rapi situasi semasa, komited pulih bekalan

Syarikat itu sedang berusaha memulihkan bekalan di beberapa stesen minyak miliknya/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 April – Shell Malaysia sentiasa memantau rapi situasi semasa berkaitan bekalan bahan bakar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sedang berusaha memulihkan bekalan di beberapa stesen minyak susulan laporan kehabisan bekalan.
  • Bekalan di sesetengah stesen mungkin terjejas sementara akibat lonjakan permintaan dalam tempoh singkat.
  • Shell mengutamakan sokongan kelangsungan bekalan runcit, selaras pengumuman terkini kerajaan.
  • KPDN lapor satu stesen terjejas RON95 dan lima lagi terjejas bekalan diesel, kesemuanya jenama Shell.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, syarikat minyak itu memaklumkan sedang berusaha memulihkan bekalan di beberapa stesen minyak miliknya, susulan laporan mengenai kehabisan bekalan.

“Kami sedang memantau rapi situasi yang amat dinamik ini dan mengutamakan usaha untuk menyokong kelangsungan bekalan bahan bakar dalam rangkaian runcit kami, selaras dengan pengumuman terkini kerajaan.

“Bekalan bahan bakar di sesetengah stesen mungkin terjejas sementara waktu akibat lonjakan permintaan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Semalam, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata setakat ini, pihaknya hanya menerima satu laporan melibatkan stesen minyak yang menghadapi masalah bekalan RON95, manakala lima stesen lagi terjejas dari segi bekalan diesel.

Kesemuanya melibatkan stesen minyak jenama Shell.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa stesen minyak di Pulau Pinang didakwa mengalami masalah bekalan bahan bakar, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna.