KPDN serbu premis simpan 288kg minyak masak peket secara tidak sah

Foto KPDN

BALING, 8 April – Sebanyak 288 kilogram minyak masak peket bersubsidi yang disimpan secara tidak sah disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dalam serbuan di sebuah premis kediaman di Kampung Sungai Limau di sini pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN menjalankan serbuan selepas melakukan risikan selama seminggu berdasarkan aduan yang diterima.
  • Premis menjalankan aktiviti memproses kerepek; pemeriksaan menemui minyak masak dipercayai digunakan untuk menggoreng.
  • Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun gagal kemukakan permit Pengawal Bekalan; kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan dijalankan selepas membuat risikan sejak seminggu lalu berdasarkan aduan diterima.

“Premis kediaman tersebut menjalankan aktiviti memproses kerepek. Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah minyak masak yang dipercayai digunakan untuk menggoreng makanan tersebut,” katanya.

Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis itu gagal mengemukakan permit atau kebenaran Pengawal Bekalan bagi tujuan menyimpan minyak masak berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).