
KUALA SELANGOR, 8 April – Seramai 15 pekerja asing ditahan menerusi Operasi Bersepadu Premis Warga Asing yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di sekitar Kuala Selangor, Sungai Buloh dan Jeram.
- 28 kompaun dan 9 notis dikeluarkan serta tiga tindakan sitaan terhadap premis yang diperiksa.
- Operasi memeriksa 13 premis termasuk cuci kenderaan dan kedai runcit, dengan sembilan beroperasi dan empat tidak beroperasi.
- Beberapa kesalahan dikesan seperti tiada lesen, melanggar syarat, tampal iklan tanpa kelulusan dan gagal menjaga kebersihan premis.
Sebanyak 28 kompaun dan 9 notis dikeluarkan, selain tiga tindakan sitaan turut dilaksanakan.
MPKS dalam kenyataan memaklumkan, operasi menjalankan pemeriksaan ke atas 13 buah premis melibatkan premis cuci kenderaan, kedai runcit dan lain-lain perkhidmatan.
Ketika operasi tersebut dilaksanakan, sembilan buah premis didapati beroperasi, manakala empat buah premis lagi tidak beroperasi.
“Operasi melibatkan 56 anggota penguat kuasa termasuk Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor, Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Antara kesalahan dikesan ialah menjalankan perniagaan tanpa lesen, melanggar syarat lesen, mempamerkan iklan tanpa kelulusan serta gagal menjaga kebersihan premis,” menurut kenyataan itu.
MPKS menegaskan operasi bersepadu akan diteruskan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta menjamin persekitaran perniagaan yang bersih dan selamat.