
KOTA TINGGI, 4 April -Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan melaksanakan solat sunat taubat dan solat sunat memohon hujan secara berjemaah, esok, susulan situasi taburan hujan rendah yang melanda beberapa kawasan di negeri itu.
- Ibadah dijalankan di semua masjid, surau dan empangan berkaitan sekitar Kota Tinggi.
- Usaha ikhtiar untuk memohon hujan dan membantu memulihkan bekalan air.
- Matlamat memastikan pusat tadahan air dipenuhi dengan bekalan air bersih mencukupi.
- Situasi kemarau dilaporkan menjejaskan Felda Lok Heng dan Sungai Gembut.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pelaksanaan ibadah tersebut akan diadakan di semua masjid dan surau, selain di empangan berkaitan sekitar Kota Tinggi.
Menurut beliau, usaha itu merupakan ikhtiar bagi memohon agar kawasan terjejas dikurniakan hujan, sekali gus membantu memulihkan bekalan air.
“Ia juga bertujuan memastikan pusat tadahan air dapat dipenuhi dengan bekalan air bersih dan mencukupi bagi kegunaan penduduk di kawasan terlibat,” katanya.
Situasi kemarau ketika ini dilaporkan menjejaskan beberapa kawasan termasuk Felda Lok Heng dan Sungai Gembut.