
KUALA LUMPUR, 1 April – Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Annas Sulaiman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju berkuat kuasa hari ini.
- ACP Annas Sulaiman sebelum ini Pengarah Operasi Bersepadu NFCC, Jabatan Perdana Menteri.
- SAC Mohamad Lazim dipindah ke Bukit Aman sebagai Penolong Ketua Pengarah Perancangan Strategik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.
- Ketua Polis Kuala Lumpur menyeru sokongan warga Wangsa Maju untuk program keselamatan lebih proaktif, operasi agresif dan pentadbiran efektif.
Majlis pelantikan itu turut disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
ACP Annas sebelum ini merupakan Pengarah Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Jabatan Perdana Menteri.
Beliau mengambil alih tugas daripada Pemangku Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis SAC Mohamad Lazim Ismail yang telah berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju sejak 4 April tahun lalu.
SAC Mohamad Lazim akan berpindah ke Bukit Aman sebagai Penolong Ketua Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada Mohamad Lazim atas khidmat dan kenaikan pangkatnya, selain mengalu-alukan pelantikan Annas sebagai ketua polis daerah baharu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berharap warga ibu negara khususnya di Wangsa Maju dapat memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan program keselamatan dan strategi kepolisan metropolitan.
“Saya menyeru warga Kuala Lumpur, khususnya di Wangsa Maju, agar bersama-sama menjayakan program strategi kepolisan metropolitan.
“Kita mengharapkan program lebih proaktif, operasi lebih agresif serta pentadbiran lebih efektif di bawah kepimpinan ketua polis daerah yang baharu,” katanya.