RTM terus relevan dalam era AI, kekal suara rakyat – PM

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 April – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan peranan Radio Televisyen Malaysia (RTM) semakin kritikal dalam memastikan penyampaian maklumat yang sahih, berimbang dan berintegriti kepada rakyat, khususnya dalam landskap penyiaran yang kian mencabar.

RINGKASAN BERITA AI
  • RTM kekal sebagai suara rakyat dan denyut nadi bangsa.
  • Pertumbuhan teknologi dan ketidaktentuan global menuntut RTM mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap sumber maklumat rasmi.
  • RTM perlu memperkasa bakat tempatan dan mengangkat karya anak seni sambil memanfaatkan teknologi secara beretika.
  • Usaha memastikan RTM relevan, berwibawa dan menjadi wahana utama dalam pembinaan negara bangsa.

Menerusi hantaran di Facebook sempena ulang tahun ke-80 RTM, beliau menyifatkan institusi penyiaran awam itu sebagai suara rakyat dan denyut nadi bangsa sejak sekian lama.

Menurut beliau, perkembangan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) serta ketidaktentuan global menuntut RTM untuk terus memainkan peranan lebih signifikan dalam mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap sumber maklumat rasmi.

“RTM perlu terus memimpin dengan memperkasa bakat tempatan dan mengangkat karya anak seni, di samping memanfaatkan teknologi secara beretika,” katanya.

Tambah beliau, usaha itu penting bagi memastikan RTM kekal relevan, berwibawa serta menjadi wahana utama dalam pembinaan negara bangsa.

Datuk Seri Anwar turut merakamkan ucapan selamat menyambut ulang tahun ke-80 kepada RTM, sambil berharap institusi itu terus unggul dalam mendepani cabaran masa depan.