Lebih 10,000 akaun palsu guna identiti diraja diturunkan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Simposium Penyiaran Digital 2026 (DBS2026) Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) ke-22

KUALA LUMPUR, 31 Mac– Lebih 10,000 akaun palsu yang menyalahgunakan identiti kerabat diraja termasuk Yang di-Pertuan Agong telah diturunkan sejak awal tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC memantau dan platform media sosial menurunkan akaun palsu yang menyalahgunakan identiti kerabat diraja.
  • Trend penyalahgunaan identiti diraja termasuk deepfake semakin membimbangkan, melibatkan Sultan Pahang, Tengku Mahkota Pahang dan Tunku Mahkota Ismail.
  • Yang di-Pertuan Agong menitahkan tindakan pantas; kementerian dan MCMC akan guna Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dan adakan mesyuarat bersama agensi berkaitan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu dilaksanakan oleh platform media sosial hasil pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Ia juga susulan laporan yang diterima daripada pelbagai pihak bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Mac.

Katanya, trend penyalahgunaan identiti diraja termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan seperti deepfake semakin membimbangkan.

“Trend ini tidak menunjukkan penurunan dan hampir setiap hari MCMC mengesan akaun palsu yang menggunakan nama kerabat diraja.

Ia termasuk penyalahgunaan identiti melibatkan Sultan Pahang, Tengku Mahkota Pahang serta Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) Digital Broadcasting Symposium 2026 di sini, hari ini.

Datuk Fahmi berkata, perkara itu turut dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Bukit Tunku, semalam.

Menurutnya, Baginda menitahkan supaya Kementerian Komunikasi dan MCMC mengambil tindakan lebih pantas dan tegas.

Langkah itu termasuk penggunaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 bagi memastikan platform media sosial mematuhi undang-undang negara.

Beliau berkata, tindakan tersebut penting bagi mengelakkan identiti diraja terus diperalat untuk tujuan penipuan.

“Pada masa ini, terdapat kelewatan daripada platform tertentu dalam menangani isu ini.

Kita akan tegas melaksanakan akta berkenaan sebaik instrumen subsidiari dimuktamadkan dan diwartakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Dalam masa sama, satu mesyuarat bersama Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) akan diadakan dalam masa terdekat.

Mesyuarat itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), MCMC serta Jabatan Peguam Negara.

Langkah itu bagi memperkukuh usaha menangani penipuan melibatkan teknologi kecerdasan buatan termasuk deepfake.