Kemenangan percuma buat Kelantan WTS FC

Foto AFL

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Pasukan Kelantan WTS FC secara rasmi diberikan kemenangan percuma 3-0 pada pertemuan menentang Machan FC dalam saingan Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Machan FC gagal menurunkan pemain mencukupi, menyebabkan kemenangan percuma diberikan selaras peraturan pertandingan.
  • Laporan penuh Komisioner Perlawanan dikemukakan kepada pihak atasan untuk tindakan susulan.
  • Bukan kali pertama, musim 2025/2026 mencatat beberapa kemenangan percuma, termasuk kes UM Damansara dan Perak FA.

Liga Bolasepak Amatur (AFL) memaklumkan keputusan itu gara-gara Machan FC gagal menurunkan jumlah pemain yang mencukupi untuk memulakan perlawanan.

“Kemenangan 3-0 diberikan kepada Kelantan WTS selaras dengan peraturan pertandingan. Laporan penuh daripada Komisioner Perlawanan telah pun dikemukakan kepada pihak atasan untuk tindakan susulan.

“Sebarang tindakan lanjut dan hukuman tambahan ke atas pasukan Machan FC akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan rekod AFL musim 2025/2026, ini bukan kali pertama kemenangan percuma diberikan.

Pada Disember lalu, UM Damansara diberikan kemenangan percuma selepas pasukan Seoul Phoenix gagal hadir ke perlawanan.

Situasi sama juga berlaku kepada Perak FA susulan isu gelanggang melibatkan perlawanan menentang Malaysian University FT pada Oktober lalu.

Kelantan WTS kini menduduki tangga keempat liga dengan 40 mata, manakala Machan FC kekal di kedudukan kedua terbawah dengan hanya sembilan mata.