Lelaki tempatan ditahan, simpan diesel tanpa lesen

Foto Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah

ALOR SETAR, 27 Mac – Seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang juga merupakan pemilik stor tanpa nombor di Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah ditahan reman kerana dipercayai menyimpan diesel tanpa lesen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan menemukan minyak diesel dalam beberapa tong IBC yang bersambung antara satu sama lain.
  • Tiada permit atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan iaitu diesel di premis terbabit.
  • KPDN Kedah menyita kira-kira 2,100 liter diesel bernilai RM9,534, serta enam tong IBC dan peralatan pemindahan.
  • Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961; operasi dilakukan bersama PGA Batalion 1 Kompeni C Bukit Kayu Hitam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah minyak diesel di dalam beberapa tong IBC yang bersambung antara satu dengan yang lain.

“Semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai permit atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan iaitu diesel di premis terbabit.

“Susulan itu KPDN Kedah menyita minyak diesel dianggarkan sebanyak 2,100 liter dengan nilai RM9,534 serta enam buah tong IBC serta peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak diesel untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM11,034. Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Operasi dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA), Batalion 1 Kompeni C, Bukit Kayu Hitam dengan kerjasama KPDN Kedah kira-kira pukul 6.00 petang semalam (Khamis).