Gandingan Eda Ezrin, Den Manjo kembali dengan ‘Adek Saye Abe Sore’

Eda Ezrin dan Den Manjo (kanan)

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Selepas mencipta fenomena menerusi lagu ‘Cinta Setandan Pisang’ atau lebih dikenali sebagai ‘Bae Soba Bae’, pasangan duet Eda Ezrin dan Den Manjo kembali bersatu dalam karya terbaharu berjudul ‘Adek Saye Abe Sore’.

RINGKASAN BERITA AI
  • Eddie Hamid dan Mekiya hasilkan aranan lebih moden sambil kekalkan elemen tradisional dikir barat; lirik ditulis Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju, Te Ha.
  • Lagu disiapkan lebih setahun lalu tetapi pelancaran tertangguh; Eddie menyimpan lagu itu khas untuk Eda kerana kesesuaian vokal dan kesinambungan konsep.
  • Eda bersyukur namun gementar menanti reaksi peminat, berharap lagu buka peluang baharu; Den menganggapnya hadiah, mahu mengulangi atau melebihi kejayaan lalu.

Lagu ciptaan komposer tersohor Eddie Hamid, merupakan kesinambungan kepada kejayaan luar biasa ‘Bae Soba Bae’ yang dilancarkan pada Disember 2023 dan sehingga kini meraih lebih 33 juta tontonan di YouTube.

Untuk karya baharu ini, Eddie Hamid berganding bersama komposer Mekiya dengan menampilkan sentuhan muzik yang lebih moden, namun masih mengekalkan elemen tradisional dikir barat yang menjadi identiti mereka. Lirik lagu ini pula dihasilkan oleh Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju dan Te Ha.

Menurut Eddie, lagu tersebut sebenarnya telah disiapkan lebih setahun lalu, namun pelancarannya tertangguh.

Walaupun menerima permintaan daripada penyanyi lain, beliau tetap memilih untuk menyimpan lagu itu khas buat Eda Ezrin kerana kesesuaian vokal dan kesinambungan konsep daripada lagu terdahulu.

Bagi Eda Ezrin, peluang untuk kembali berduet bersama Den Manjo adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan. Penyanyi berusia 31 tahun itu meluahkan rasa syukur kerana masih diberi kepercayaan oleh Eddie Hamid, selain mengakui proses rakaman berjalan lancar hasil keserasian yang telah terbina sebelum ini.

Namun di sebalik keterujaan tersebut, Eda tidak menafikan perasaan gementar menanti reaksi peminat, memandangkan lagu baharu ini pasti akan dibandingkan dengan kejayaan besar mereka sebelum ini.

Selepas melalui fasa mencabar dalam hidupnya, Eda berharap kemunculan lagu ini membuka lebih banyak ruang untuknya terus berkarya dalam industri.

Sementara itu, Den Manjo turut menyifatkan peluang merakamkan lagu ini sebagai satu hadiah berharga. Penyanyi berusia 30 tahun itu mengakui tidak sabar untuk kembali bergandingan dengan Eda selepas kejayaan lalu, dan berharap lagu ini mampu mengulangi pencapaian sama atau lebih baik.

‘Adek Saye Abe Sore’ boleh didengari di semua platform digital bermula hari ini, manakala video muzik rasmi telah pun ditayangkan di saluran YouTube pada Rabu.