
KUALA LUMPUR, 21 Mac – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggalakkan penggiat industri dan orang ramai mengambil bahagian secara aktif dalam pedagangan minyak masak terpakai (UCO).
- MPOB menyediakan portal rujukan harga UCO boleh diakses percuma untuk memudahkan pembelian dan penjualan.
- Pelancaran data harga purata bertujuan meningkatkan ketelusan pasaran dan mengurangkan ketidakpastian rantaian nilai industri.
- Paparan harga rujukan menyediakan penanda aras harga jelas dan boleh dipercayai, menyokong rantaian bekalan UCO lebih telus.
- Inisiatif memperkukuh integriti pasaran, sejajar aspirasi ekonomi kitaran dengan manfaat minyak masak terpakai sebagai bahan mentah bernilai tinggi.
Menerusi kenyataan, MPOB berkata bagi memastikan ketelusan urus niaga dan memudahkan pembelian dan penjualan UCO, MPOB telah menyediakan portal rujukan harga minyak masak terpakai bagi pasaran domestik, boleh diakses secara percuma oleh semua pihak berkepentingan.
Pelancaran maklumat data harga purata UCO merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan menerusi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bagi meningkatkan ketelusan pasaran, memperkukuh mekanisme penemuan harga dan mengurangkan ketidakpastian dalam rantaian nilai industri minyak sawit di Malaysia.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata paparan harga rujukan UCO menyediakan penanda aras harga lebih jelas dan boleh dipercayai, sekali gus menyokong pembangunan rantaian bekalan UCO lebih telus dan inklusif.
Inisiatif tersebut bukan sahaja memperkukuh integriti pasaran UCO domestik tetapi juga seiring dengan aspirasi kerajaan dalam memacu ekonomi kitaran dengan manfaat minyak masak terpakai sebagai bahan mentah bernilai tinggi.
Malaysia juga katanya, mempunyai potensi besar dalam bekalan UCO disebabkan oleh penggunaan minyak masak sawit yang tinggi dalam sektor isi rumah dan perkhidmatan makanan seperti perniagaan katering dan penjual makanan bergoreng.