Malaysia kekal RON95 RM1.99 ketika harga minyak global melonjak

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jamek As-Syakirin Kampung Pelet Permatang Pauh, Pulau Pinang/Foto Pejabat Perdana Menteri.


BUKIT MERTAJAM, 20 Mac – Harga runcit petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter meskipun berdepan tekanan kenaikan harga minyak global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar berkata lonjakan harga minyak dunia berpunca gangguan bekalan, termasuk penutupan Selat Hormuz dan serangan terhadap kemudahan minyak dan gas.
  • Beberapa negara terpaksa melaksanakan catuan minyak atau menghadapi hampir situasi darurat, kata beliau.
  • Kerajaan adakan siri mesyuarat Jemaah Menteri dan agensi, serta Anwar menghadap Agong, bagi menilai impak dan langkah kurangkan beban rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lonjakan harga minyak dunia ketika ini berpunca daripada gangguan bekalan termasuk penutupan laluan strategik seperti Selat Hormuz serta serangan terhadap kemudahan minyak dan gas.

Menurutnya, situasi itu memberi kesan besar kepada pasaran global dengan kebanyakan negara terpaksa berdepan peningkatan harga bahan api.

“Kita bernasib baik kerana masih mampu bertahan ketika harga minyak dunia kini semakin meningkat, berbanding sebelum ini yang lebih terkawal.

“Penutupan Selat Hormuz serta gangguan bekalan minyak dan gas menyebabkan harga melonjak tinggi. Dalam keadaan ini, Malaysia masih mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter.

“Berbanding negara lain, ada yang terpaksa melaksanakan catuan minyak, malah ada yang berdepan situasi hampir darurat.

“Di Singapura pula, harga minyak dilaporkan mencecah lebih RM10 seliter,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Akhir Ramadan bersama pimpinan komuniti Permatang Pauh di sini.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan beberapa siri mesyuarat bersama Jemaah Menteri dan agensi berkaitan telah diadakan bagi meneliti impak krisis berkenaan terhadap ekonomi negara.

Perdana Menteri turut menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi mempersembahkan laporan mengenai situasi ekonomi semasa serta langkah-langkah yang diambil kerajaan.

Tegasnya, segala usaha akan terus diperkukuh bagi mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.