
KUALA LUMPUR, 17 Mac — Kestabilan sebenar negara bergantung kepada perpaduan rakyat serta tekad bersama untuk memastikan masa depan Malaysia terus makmur dan berdaya tahan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
- Lawatan ke Sabah memberi peluang menyantuni pimpinan tempatan, penjawat awam, peniaga kecil dan golongan muda.
- Sabah mengingatkan bahawa kekuatan negara bukan sahaja hasil bumi tetapi keharmonian dan semangat saling menghormati.
- Kerajaan MADANI komited melaksanakan tuntutan Malaysia Agreement 1963 untuk memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terpelihara.
Beliau berkata dalam dunia yang berdepan pelbagai cabaran semasa dan global, kekuatan negara bukan sahaja bergantung kepada hasil ekonomi tetapi juga semangat muafakat dalam kalangan rakyat.
“Dalam dunia yang berdepan pelbagai cabaran semasa dan global, kestabilan sebenar negara ini tetap terletak pada perpaduan rakyat dan tekad untuk bergerak bersama demi masa depan Malaysia yang lebih makmur dan berdaya tahan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Perdana Menteri berkata kunjungannya ke Sabah pada Ahad turut memberi peluang untuk menyantuni pelbagai lapisan masyarakat termasuk pimpinan tempatan, penjawat awam, peniaga kecil serta golongan muda.
Menurut beliau, Sabah mengingatkan bahawa kekuatan Malaysia bukan sekadar pada hasil bumi tetapi juga keharmonian rakyat yang hidup dalam semangat saling menghormati.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus melaksanakan tuntutan di bawah Malaysia Agreement 1963 bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri itu terus terpelihara.