Konflik Asia Barat: kerajaan pantau kesan terhadap inflasi, rantaian bekalan negara

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 12 Mac – Kementerian Ekonomi Malaysia terus memantau secara rapi perkembangan konflik di Asia Barat termasuk menilai kesannya terhadap inflasi negara, rantaian bekalan serta kos logistik secara keseluruhan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Impak konflik tidak terhad kepada kenaikan harga minyak; ia bergantung kepada intensiti dan tempoh konflik.
  • Kementerian akan menilai impak jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
  • Segala input berkaitan telah dibentangkan kepada jawatankuasa khas, dan akan dibawa ke mesyuarat khas Jemaah Menteri.

Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata impak konflik berkenaan tidak terhad kepada kenaikan harga minyak semata-mata, sebaliknya bergantung kepada tahap intensiti serta tempoh konflik tersebut.

“Keadaan ini berada dalam jangkaan dan pemantauan kita. Pada masa sama, indikasi yang kita lihat ketika ini menunjukkan bahawa konflik tersebut belum lagi menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat.

“Selain itu, walaupun konflik berakhir, ia tidak bermaksud keadaan akan kembali normal dengan serta-merta kerana terdapat beberapa perkara yang memerlukan masa untuk pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat IAPG Perdana dan peluncuran sistem MyRMK: Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di sini hari ini.

Akmal Nasrullah berkata konflik berkenaan memberi kesan langsung terhadap bekalan dan harga minyak global yang seterusnya memberi implikasi kepada ekonomi negara.

Menurutnya, kementerian akan mengambil pendekatan menyeluruh dengan menilai impak jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam masa sama, setiap kementerian dan agensi berkaitan juga akan mengambil langkah mitigasi di peringkat operasi sekiranya diperlukan.

Beliau berkata segala input berkaitan telah dibentangkan kepada II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan selaku pengerusi jawatankuasa khas yang meneliti perkembangan serta impak ekonomi semasa.

Menurutnya, perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat khas Jemaah Menteri esok bagi diperhalusi dan dibincangkan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.