
PUTRAJAYA, 10 Mac– Beberapa langkah mitigasi akan dilaksana bagi memastikan operasi pelabuhan negara tidak terjejas susulan konflik antara Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran yang menjejaskan pergerakan maritim di Selat Hormuz, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
- Pemindahan kontena kosong dipermudah dan pemeriksaan kontena diperketat untuk mengelakkan kesesakan pelabuhan serta penurunan kontena tanpa destinasi jelas.
- Kementerian akan bekerjasama menangani cabaran kos bahan api dan mewujudkan mekanisme sokongan semasa krisis bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan.
- Kerajaan berusaha membantu kapal Malaysia terkandas di Asia Barat; pemegang taruh digesa bekerjasama untuk melindungi kepentingan negara.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama pihak pengurusan pelabuhan, syarikat perkapalan serta pihak berkuasa industri maritim negara pagi ini bagi merencanakan langkah segera menghadapi kemungkinan gangguan kepada rantaian logistik global.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, krisis sedemikian sering menyebabkan kesesakan pelabuhan di negara kita kerana kontena ke kawasan konflik akan dibiarkan oleh syarikat perkapalan, sekali gus menjejaskan operasi harian import dan eksport, seterusnya kilang-kilang kita,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Selat Hormuz, yang terletak di antara Iran dan Oman, merupakan antara laluan perkapalan minyak paling penting di dunia, dengan kira-kira satu perlima daripada penggunaan minyak global melalui laluan sempit itu setiap hari.
Loke berkata sebagai langkah awal, kerajaan akan mempermudah pemindahan kontena kosong dari kawasan pelabuhan bagi mengelakkan kesesakan, manakala pihak pengurusan pelabuhan akan melaksanakan pemeriksaan lebih menyeluruh.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan kontena yang destinasinya tidak jelas tidak diturunkan di pelabuhan negara.
Katanya Kementerian Pengangkutan turut mengambil maklum cabaran kos bahan api yang dihadapi oleh pelabuhan tempatan dan akan bekerjasama bagi mewujudkan mekanisme untuk menangani isu tersebut ketika berlakunya krisis.
Loke berkata kerajaan juga sedang berusaha membantu kapal-kapal Malaysia yang terkandas di Asia Barat akibat risiko serangan sekiranya mereka meneruskan pelayaran.
“Dalam menghadapi krisis nasional, semua pemegang taruh mesti bekerjasama dan saling membantu untuk melindungi kepentingan negara,” katanya. BERNAMA