
KUALA LUMPUR, 9 Mac -Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia terus memperkukuh agenda pendigitalan sektor pembinaan negara menerusi pengenalan platform Digital Construction Management (DCM).
- DCM tingkatkan kecekapan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek melalui teknologi digital dan integrasi BIM.
- Memungkinkan kerjasama pihak berkepentingan melalui perkongsian maklumat berpusat masa nyata, meningkatkan ketelusan dan mempercepatkan keputusan.
- CIDB wujudkan myBIM Centre dan 12 satelit untuk kesiapsiagaan industri, selaras dengan CAP30 dan RMK13 sebagai pemacu pendigitalan.
Pengerusinya, Datuk Yusuf Abd Wahab berkata, platform itu bertujuan meningkatkan kecekapan perancangan, pelaksanaan serta pemantauan projek pembinaan melalui penggunaan teknologi digital dan integrasi pemodelan maklumat bangunan (BIM).
“Apabila kita menggunakan teknologi digital dalam pembinaan, kebiasaannya kita dapat mengelakkan masalah seperti pertindihan antara komponen dalam projek.
Sebagai contoh, BIM membolehkan kita mengesan lebih awal sekiranya terdapat pertindihan antara sistem paip, pendawaian dan perkhidmatan lain, terutamanya dalam projek yang semakin kompleks dengan pelbagai sistem yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Penjenamaan Baharu CIDB E-Construct Services Sdn Bhd (CIDBE) kepada CIDB Digital Sdn Bhd dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun di sini hari ini.
Tambah beliau, ia juga membolehkan semua pihak berkepentingan dalam projek pembinaan bekerjasama secara lebih cekap melalui perkongsian maklumat projek secara berpusat dan masa nyata.
“Melalui platform ini, pengguna dapat memantau kemajuan projek, jadual kerja serta isu-isu yang berpotensi secara masa nyata, sekali gus meningkatkan ketelusan dalam pengurusan projek, mempercepatkan proses membuat keputusan serta mengurangkan risiko kesilapan dalam pelaksanaan projek pembinaan.” katanya lagi.
Jelasnya, setakat ini DCM telah digunakan dalam lebih 60 projek pembinaan berskala besar di lima negara, melibatkan nilai projek melebihi AS$8 billion, sekali gus membuktikan keupayaan platform ini dalam menyokong pelaksanaan projek kompleks.
Dalam pada itu, beliau berkata, CIDB menerusi myBIM Malaysia telah mewujudkan myBIM Centre di Kuala Lumpur dan 12 satelit di seluruh negara bagi memastikan pemain industri bersedia mengadaptasi teknologi BIM serta memperkukuh ekosistem digital industri pembinaan negara.
Menurutnya, inisiatif berkenaan selaras dengan Pelan Tindakan Pembinaan 2026-2030 (CAP30) serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan teknologi digital sebagai pemacu utama produktiviti dan ketelusan sektor berkenaan.