Korea Selatan hantar pesawat khas bawa pulang rakyat dari UAE

Akibat krisis perang. foto REUTERS

SEOUL, 8 Mac – Sebuah pesawat sewa khas berlepas dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad bagi membawa pulang ratusan rakyat Korea Selatan yang terkandas di negara itu susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian mengesahkan penerbangan sewa khas membawa 203 warga Korea Selatan dan tiga pasangan warga asing pulang dari UAE.
  • Sehingga kini kira-kira 1,500 warga Korea Selatan telah meninggalkan UAE selepas gangguan penerbangan dan penyambungan semula lalu lintas udara.
  • Kementerian hantar pasukan tindak balas pantas dan tingkatkan amaran perjalanan Tahap 3, menasihatkan rakyat meninggalkan beberapa negara Asia Barat.

Menurut Kementerian Luar Korea Selatan, penerbangan sewa khas yang dikendalikan Etihad Airways itu membawa 203 warga Korea Selatan bersama tiga pasangan warga asing mereka.

Pesawat tersebut berlepas dari Abu Dhabi pada 5.35 petang waktu Korea dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, di barat Seoul, sekitar pukul 2 pagi Isnin.

Seoul sebelum ini berusaha membawa pulang kira-kira 3,000 rakyatnya yang berada di UAE berikutan gangguan penerbangan susulan ketegangan yang meningkat di Asia Barat selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada akhir Februari.

Setakat ini, kira-kira 1,500 warga Korea Selatan, termasuk penumpang dalam penerbangan sewa khas tersebut, telah meninggalkan UAE selepas penerbangan ke dan dari negara itu disambung semula.

Kementerian luar turut menghantar pasukan tindak balas pantas ke UAE bagi membantu operasi pemindahan rakyatnya.

Sejak awal Sabtu, Kedutaan Korea Selatan di UAE menerima permohonan daripada warga Korea Selatan yang ingin menaiki penerbangan sewa khas tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, kementerian itu turut meningkatkan amaran perjalanan ke beberapa negara Asia Barat termasuk Bahrain, Oman, Qatar, Kuwait, Arab Saudi dan Jordan.

Amaran perjalanan Tahap 3 yang menasihatkan rakyat Korea Selatan meninggalkan negara berkenaan berkuat kuasa mulai Ahad.

“Kami turut menggesa rakyat yang berada di negara terbabit supaya meninggalkan kawasan tersebut kecuali jika mempunyai urusan yang benar-benar mendesak,” menurut kementerian itu.