Operasi pencarian MH370 fasa kedua tamat, belum temui bangkai pesawat

Syarikat Ocean Infinity setakat ini masih belum menemui sebarang bukti yang mengesahkan lokasi bangkai pesawat itu.

PUTRAJAYA, 8 Mac – Operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dijalankan di kawasan baharu di selatan Lautan Hindi oleh syarikat Ocean Infinity setakat ini masih belum menemui sebarang bukti yang mengesahkan lokasi bangkai pesawat itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian di kawasan dianggarkan 15,000 kilometer persegi dengan dasar "no find, no fee".
  • Pencarian dijalankan dalam dua fasa; fasa pertama 25 hingga 28 Mac 2025, fasa kedua 31 Disember 2025 hingga 23 Januari 2026.
  • Sepanjang kedua fasa, 28 hari pencarian melibatkan kira-kira 7,571 km2, operasi terganggu oleh cuaca; kerajaan akan terus memaklumkan keluarga mangsa.

Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), menerusi kenyataan berkataoperasi pencarian dasar laut berkenaan dilaksanakan selepas kerajaan menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity pada 25 Mac 2025 bagi meneruskan pencarian di kawasan dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan dilaksanakan berdasarkan prinsip “no find, no fee” dan dijalankan dalam dua fasa.

“Fasa pertama dilaksanakan antara 25 hingga 28 Mac 2025, manakala fasa kedua bermula 31 Disember 2025 hingga 23 Januari 2026,” menurut kenyataan pada Ahad.

Menurut AAIB, sepanjang kedua-dua fasa operasi berkenaan, sebanyak 28 hari pencarian dijalankan dengan kira-kira 7,571 kilometer persegi dasar laut dalam kawasan pencarian ditetapkan.

Tambah AAIB operasi berkenaan turut berdepan gangguan akibat keadaan cuaca serta laut yang tidak menentu.

“Sehingga tarikh kemas kini ini, aktiviti pencarian yang dijalankan masih belum menghasilkan sebarang penemuan yang mengesahkan lokasi bangkai pesawat,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Pengangkutan menegaskan kerajaan kekal komited untuk memaklumkan perkembangan terkini kepada keluarga mangsa dan akan terus menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa.